BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kecekapan, Kredibiliti PDRM Dapat Selesaikan Isu GISBH - Saifuddin Nasution

30/09/2024 02:32 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Kecekapan dan kredibiliti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diyakini dapat menyelesaikan siasatan berkaitan kes-kes yang membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.  

Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini beliau berkata sekiranya jelas berlaku ekploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak, kesalahan seksual kanak-kanak mahu pun pemerdagangan manusia, tindakan perlu diambil.

Tanpa berkongsi kemas kini terbaharu siasatan kes itu, Saifuddin berkata beliau optimis PDRM akan mengambil kira setiap aspek dan menjalankan siasatan berpandukan empat akta iaitu Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Kanun Keseksaan.

Beliau berkata 1,226 pegawai dan anggota termasuk daripada PDRM, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi Malaysia, dan Jabatan Pendaftaran Negara, terlibat dalam proses siasatan dan tindakan dalam menanggani kes itu.

Op Global yang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama yang dikaitkan dengan GISBH, kini memasuki fasa empat.

Sejak Op Global fasa pertama bermula awal bulan ini, lebih 300 orang termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, 572 mangsa diselamatkan dan lapan individu telah dituduh di mahkamah atas 33 pertuduhan.

Pada sidang media kemudiannya Saifuddin berkata sehingga kini 80 kertas siasatan telah dibuka susulan penahanan 359 pengikut GISBH menerusi Op Global di seluruh negara.

“Jadi daripada 80 kertas siasatan yang dibuka, polis dan semua agensi terlibat tentunya mengambil masa untuk melengkapkan dan menyempurnakan (siasatan) sebelum diserahkan kepada AGC (Jabatan Peguam Negara). Sama ada pendakwaan akan dibuat atau sebaliknya - itu kuasa di peringkat AGC,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya di perhimpunan itu Saifuddin berkata 80 peratus daripada 64,000 unit rumah PDRM di seluruh negara adalah layak untuk didiami, manakala lima peratus lagi dengan sedikit pembaikan, boleh dijadikan ia layak untuk didiami, dan unit-unit kediaman yang memerlukan pembaikan kecil ini akan dijadikan keutamaan untuk disegerakan.

“Walaupun peruntukan agak tidak mencukupi untuk menangani semua isu terutama di kawasan kos tinggi seperti di Kuching, Sarawak, tapi hal ini (kuarters) adalah penting, sebab di sana (Kuching), ada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis, dan juga anggota lain, mereka terpaksa bayar sewa, ia menjadi beban,” katanya..

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan mengumumkan peruntukan lebih RM500 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan membaik pulih kuarters kediaman serta institusi di bawah KDN termasuk PDRM.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan