BELANJAWAN 2024 > BERITA

Tiga Keluarga Terperangkap, Air Banjir Naik Paras Pinggang Di Sik

01/10/2024 09:33 AM

SIK, 1 Okt (Bernama) -- Tiga keluarga di Kampung Charuk Tenang di sini, mengalami detik cemas apabila rumah mereka dinaiki air sehingga paras pinggang kira-kira pukul 10 malam tadi, menyebabkan mereka terperangkap di dalam rumah.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sik Lt (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat selama empat jam di kawasan hulu Sik yang menyebabkan banjir kilat.

"Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik menerima panggilan kecemasan daripada seorang mangsa yang meminta bantuan untuk dipindahkan ke tempat selamat setelah terperangkap dalam air banjir.

"Susulan hujan yang masih turun malam tadi sehingga pukul 3 pagi, semua mangsa yang terjejas dari tiga buah rumah tersebut dipindahkan ke lokasi selamat," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, beberapa kampung lain turut dilaporkan mengalami banjir kilat malam tadi, termasuk Kampung Bendang Man, Chepir, Jerai di hulu Sungai Chepir, serta Lubuk Tualang di hulu Sungai Charuk Tebal.

"Ada keluarga yang berpindah sementara ke surau Kampung Lalang, manakala tiga buah keluarga lain dilaporkan berpindah ke Balai Islam Kampung Tanjung Belit.

"Bagaimanapun, selepas air surut, mangsa-mangsa tersebut sudah pulang ke rumah masing-masing pada pagi ini untuk membersihkan kediaman mereka," katanya.

Sementara itu, seorang daripada mangsa, Nong Nart Bua Fon, 40 tahun, berkata ini merupakan kali pertama beliau berdepan detik cemas setelah hampir 20 tahun menetap di situ.

"Hampir 20 tahun kat sini, ini kali pertama banjir. Sekali air mai terlalu deras, naik hingga paras pinggang.

"Masa tu saya dalam rumah bersama dua anak lelaki berusia 11 dan tujuh tahun, manakala suami dan anak sulung (lelaki) menziarahi kematian di tempat lain," katanya.

Katanya, dua buah rumah berhampiran turut dinaiki air banjir, menyebabkan mereka berpindah ke rumah saudara yang tidak terjejas, tidak jauh dari situ.

"Sebuah rumah didiami oleh sepasang suami isteri warga emas, manakala sebuah lagi didiami oleh empat orang ahli keluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan