BELANJAWAN 2024 > BERITA

Atas Nama Pembangunan, Tuntung Sungai Semakin Pupus

01/10/2024 01:20 PM
From: Nina Muslim

Anak tuntung yang ada di atas tapak tangan pakar alam sekitar itu tampak begitu selesa, hampir langsung tidak bergerak.

“Cute jugak,” komen Meor Razak bin Meor Abd Rahman, pegawai lapangan Friends of Nature (SAM). Sejurus kemudian, tuntung sungai Selatan (Batagur affinis) itu, atau lebih dikenali sebagai tuntung sungai, menggelongsor daripada tangannya, jatuh terus ke dalam kolam kecil tuntung.

Aksi anak tuntung itu mencuri perhatian pengunjung Pusat Konservasi Hidupan Liar Tuntung Sungai yang terletak di Bota Kanan, Perak. Luas kawasannya sekitar 6.3 hektar. Ada yang ketawa riang melihat gelagat anak tuntung itu. Pemandu pengunjung tu memberi jaminan si tuntung kecil itu baik-baik sahaja di dalam kolam yang turut menempatkan tuntung yang beberapa tahun lebih tua daripadanya.

pic-7

Tuntung sungai, rupanya, tidak begitu suka dengan manusia atau pun bunyi bising yang kuat. Di bahagian lain pondok yang berbumbung itu, terdapat kolam yang mengandungi tuntung dewasa yang berkumpul di satu sudut kolam. Berukuran kira-kira sekaki panjang dan berwarna kelabu gelap, tuntung itu kebiasannya akan memanjat di atas satu sama lain, mungkin sebagai usaha untuk menjauhkan diri daripada pandangan pengunjung.

Sikap malu mereka, disertai pemusnahan habitat serta tapak bertelur di tebing sungai akibat kegiatan manusia dan ekonomi, seperti perlombongan pasir, hampir memupuskan spesies itu di alam liar.

Tuntung air tawar ini disenaraikan sebagai sangat terancam di bawah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN).

“Pengambilan pasir sungai menyebabkan tidak ada lagi kawasan beting pasir atau tebing yang berpasir di kawasan Sungai Perak ini. Jadi itu yang kami bimbang. Bagaimana tuntung ni boleh nak ke darat, untuk bertelur? ” kata Meor Razak.

pic-3

 

TAK ADA PASIR, TAK ADA TUNTUNG

Tuntung sudah pupus di alam liar di Thailand, Vietnam dan Singapura. Para pakar memberi amaran bahawa perkara yang sama mungkin berlaku di Perak tidak lama lagi, kecuali ada lebih banyak usaha untuk melindungi tuntung-tuntung itu. Menurut laporan berita dari tahun 2019, sudah bertahun-tahun tuntung liar sungai tidak kelihatan di Perak. 

Di Pusat Konservasi Hidupan Liar Tuntung Sungai itu, terdapat beberapa ratus tuntung sungai, pelbagai saiz dan umur, sama ada sebagai stok untuk dibiak atau sebagai anak tuntung yang akan dilepaskan di alam lain selepas tempoh beberapa tahun. Pusat berkenaan memagar satu kawasan tebing pasir di mana tuntung dilepaskan dan para pemuliharaan berharap tuntung itu akan kembali ke tebing pasir itu apabila mencapai usia dewasa, lebih daripada satu dekad selepas dilepaskan ke dalam sungai. 

Meskipun pusat itu ada memelihara spesies berkenaan, para pakar berkata, langkah itu sepatutnya usaha terakhir dalam pemuliharaan tuntung.

pic-4

Presiden Persatuan Pemuliharaan Penyu Malaysia, Prof (bersara) Maketab Mohamed menyamakan pusat berkenaan sebagai “ zoo,” sambil menyatakan, “tuntung sungai akan pupus sekiranya tiada usaha untuk menyelamatkan spesies itu di alam liar.

“Dulu memang ada banyak di Sungai Perak. Sekarang sebab isu perlombongan pasir, tak ada tempat nak bertelur. Dalam Sungai Perak itu, yang kita sebut di alam liar, memang seekor tak dapat ,” katanya.

“Jadi yang dah naik nak bertelur, tak ada tempat bertelur maknanya balik ke dalam sungai, pupuslah, ” tambahnya.

Semakin memburukkan keadaan, tuntung sungai tidak sesubur seperti penyu laut. Penyu laut bertelur sebanyak 110 biji telur, dua hingga lapan kali satu musim, sementara tuntung sungai bertelur sekitar 25 hingga 30 biji satu musim.

Bernama menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk Semenanjung Malaysia, yang bertanggungjawab terhadap pusat pemuliharaan dan isu hidupan liar di Malaysia, untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai usaha pemuliharaan tuntung sungai, namun tidak mendapat respons setakat rencana ini ditulis.

Cara melombong pasir ialah meletakkan pengorek kaut, yang digunakan untuk mengaut pasir daripada bahagian tengah sungai, hampir dengan sisi air di zon penampan sungai, yang juga merupakan tempat tuntung membuat sarang untuk bertelur.

Timbunan pasir di tebing sungai jelas menunjukkan wujud kegiatan perlombongan pasir sungai. Kesannya tumbuhan sungai musnah dan kegiatan ini menjadikan tuntung tidak naik ke tebing untuk bertelur.  Kegiatan melombong pasir sungai itu bukan sahaja menjejaskan hidupan liar tempatan akibat kekeruhan air tetapi juga memusnahkan organisma penting di dasar sungai yang menyumbang kepada kesihatan sungai.

 

TUNTUNG DAN EKONOMI

Pasir adalah bahan paling banyak dilombong di dunia dan menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), sebanyak kira-kira 50 bilion tan metrik dilombong setahun. Melombong atau mengorek pasir bukan sahaja terhad di sungai. Bukit pasir pedalaman, pantai dan dasar lautan juga mempunyai pasir, meskipun pasir sungai yang kasar yang paling utama dicari untuk tujuan pembinaan. 

Satu laporan UN tahun 2022 mendapati, perlombongan pasir meningkat pada kadar 6 peratus setahun secara global, yang dianggap sebagai “tidak mampan.” Kebanyakan projek perlombongan pasir di dunia dibuat secara haram.

Industri perlombongan pasir global dianggarkan bernilai AS$151 bilion (RM620 billon). 

Di Perak, kebanyakan kegiatan perlombongan pasir di sungai mempunyai lesen meskipun terdapat sedikit projek melombong pasir secara haram. Pakar alam sekitar mendakwa kerajaan Perak pada masa lalu meluluskan terlalu banyak projek, dakwaan yang mereka nafikan.

pic-5

Exco kerajaan negeri Perak Teh Kok Lim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau memberitahu Bernama menerusi Zoom, sebarang projek perlombongan pasir yang diluluskan di Perak memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi pengawal lain.

“Kebanyakan tawaran perlombongan pasir (projek), mereka perlu lakukan untuk mendalamkan sungai. Jadi, apabila tawaran diberi, pada masa sama, terdapat keperluan untuk laporan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar),” katanya.

“Kebanyakan projek itu, memerlukan EIA. Malah perlombongan kecil, perlu juga laporan EIA.”

Beliau menambah, proses kelulusan perlu dilakukan dengan cara yang betul dan berhati-hati.

Semua kegiatan perlombongan tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Meskipun JAS adalah agensi Persekutuan, undang-undang membenarkan JAS di negeri meluluskan permit pelesenan. Laporan EIA bukan selalunya boleh diperolehi orang awam. JAS meletakkan laporan EIA projek yang menunggu kelulusan di laman sesawangnya, namun untuk mencari laporan EIA yang tertentu selepas projek diluluskan, boleh menemui jalan buntu.

Menurut Teh, semua orang menang - bermaksud kerajaan negeri mendapat manfaat daripada penjualan pasir, masyarakat setempat memperolehi pekerjaan dan semua mendapat projek tebatan banjir - sekiranya semua “dilaksanakan secara betul.”

Maketab, yang juga pakar kualiti air, menolak justifikasi kerajaan.

“Bagi saya, (sebab tebatan banjir ) hanyalah sekadar alasan. Kalau nak korek sungai, lakukan pada masa tertentu, lepas itu berhenti bila sungai tu sudah dikorek. Ini korek pasir secara berterusan,” katanya.

“Kalau ‘biar kami korek pasir sekejap,’ kemudian berhenti. Tak ada masalah. Tapi tak macam tu. Mereka seronok korek pasir sampai bila-bila.”

pic-6

 

ISU PENGUATKUASAAN 

Dalam berdepan dengan isu alam sekitar dan ekonomi, jarang alam sekitar, apatah lagi tuntung, akan menang, kecuali keadaan amat terdesak.  Perlombongan pasir mungkin buruk untuk sistem ekologi, tetapi manfaatnya untuk peluang pekerjaan bagi masyarakat setempat serta sumber kewangan kerajaan negeri, tidak boleh dipandang ringan.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali memberitahu Bernama, kerajaan perlu berkompromi dalam hal berkenaan.

“Ia adalah harga yang perlu dibayar untuk (mengembangkan) ekonomi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya. “Saya percaya kita ada undang-undang tetapi kita tidak menyampaikan dengan baik perihal undang-undang itu kepada umum.”

Untuk itu, kebanyakan pakar lebih memilih agar kerajaan menguatkuasakan atau menggunakan undang-undang yang ada, daripada memperkenalkan undang-undang baharu.

Selain daripada keperluan EIA, terdapat Enakmen Akta Hak Sungai Perak 1915 iaitu undang-undang pemuliharaan tertua di negara ini, yang membantu memulihara tuntung sungai, dengan mengawal pemakanan telur tuntung - makanan istimewa dalam kalangan orang tempatan - dan pemuliharaan telur tuntung di sepanjang Sungai Perak. Dengan dikawal oleh PERHILITAN, enakmen berkenaan bagaimanapun tidak mewujudkan kawasan pemuliharaan tertentu.

Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,  mewujudkan tempat perlindungan hidupan liar atau kawasan simpanan untuk hidupan liar, oleh kerajaan negeri atau pihak berkuasa Persekutuan. Menurut Meor Razak, selain pusat pemuliharaan, tidak ada tapak yang dilindungi untuk tuntung yang naik ke darat untuk bertelur.

pic-2

Beliau dan Hafizudin Nasarudin, Pengerusi Majlis Tertinggi Kumpulan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) bersetuju dengan perlaksanaan undang-undang serta peraturan yang sedia ada berhubung habitat tuntung sungai, seperti zon penampan sungai.

Hafizudin memberitahu Bernama, ini kerana, sementara usaha pemuliharaan amat dialu-alukan, ia seharusnya sebagai usaha yang terakhir.

“Tak guna juga kalau ada tapak penetasan kalau pantai pasir sudah semakin banyak hilang,” katanya.

“Penyelesaian muktamad adalah pulihkan kembali tebing sungai. Secara jangka panjang, secara automatik, tuntung itu akan datang balik, tanpa ada sebarang hakisan tebing sungai,” tambahnya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan