BELANJAWAN 2024 > BERITA

PM Anwar Hadiri Majlis Pecah Tanah Pusat Data Google Bernilai US$2 Bilion

01/10/2024 11:42 AM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri majlis pecah tanah pusat data dan rantau awan Google bernilai US$2 bilion (US$1 = RM4.12) di Malaysia yang diadakan pada acara “Mantap Malaysia Bersama AI” yang julung kali diadakan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pusat data yang kini dalam pembinaan di Elmina Business Park, Selangor, akan menangani peningkatan permintaan terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan digital lain yang digunakan setiap hari oleh individu serta organisasi di Malaysia.

Pelaburan Google dijangka dapat menjana impak ekonomi bernilai lebih US$3.2 bilion selain mewujudkan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang 2030.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google Ruth Porat berkata komitmen syarikat itu terhadap usaha kemajuan digital Malaysia dapat dilihat menerusi pusat data dan wilayah awan berkenaan di Selangor.

“Pelaburan Google dalam aspek infrastruktur, kemahiran digital dan kemampanan memaparkan kemajuan dalam usaha bersama kami dengan kerajaan Malaysia untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membawa manfaat AI kepada komuniti serta syarikat tempatan," katanya pada majlis berkenaan.

Pada masa sama, Porat menekankan bahawa Google akan menyokong inovasi dan pertumbuhan di Malaysia selain membolehkan individu dan perniagaan memaksimumkan potensi era digital.

“Dalam usaha ini, Google akan meneruskan pemantauan sumber asli yang bertanggungjawab dengan meningkatkan ekosistem kawasan tadahan air komuniti di Malaysia selain membantu memacu penggunaan sumber tenaga boleh baharu tempatan," katanya.

Majlis pada hari ini adalah susulan kepada pengumuman Google Cloud pada 2022 bagi mewujudkan rantau awan tempatan untuk kemudahan organisasi sektor awam, perniagaan kecil hingga sederhana, syarikat pemula niaga serta perusahaan besar dengan menyediakan perkhidmatan pengkomputeran, AI dan pembelajaran mesin yang lebih pantas dan mudah diakses.

Wilayah awan itu akan menawarkan perkhidmatan berprestasi tinggi dan kependaman rendah yang membolehkan pelanggan menikmati aspek keselamatan data yang maksimum dan piawaian pematuhan, termasuk keperluan penyimpanan data yang khusus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan