BELANJAWAN 2024 > BERITA

Bekas Menteri Pengangkutan Singapura Dihukum Penjara 12 Bulan

03/10/2024 03:15 PM

SINGAPURA, 3 Okt. (Bernama) -- Bekas Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah minggu lepas atas empat pertuduhan menerima barangan berharga sebagai penjawat awam dan satu pertuduhan menghalang keadilan.

Hakim Vincent Hoong ketika menjatuhkan hukuman menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan hukuman oleh pihak pembelaan mahupun pendakwaan.

Pendakwaan yang diketuai Timbalan Peguam Negara Tai Wei Shyong mencadangkan hukuman penjara selama enam hingga tujuh bulan, manakala pasukan pembelaan yang diketuai Peguam Kanan Davinder Singh memohon hukuman tidak lebih daripada lapan minggu.

"Saya berpendapat bahawa adalah wajar untuk mengenakan hukuman yang melebihi cadangan kedua-dua pihak. Menerima hujahan salah satu pihak akan menghasilkan hukuman yang jelas tidak mencukupi," katanya.

Hakim juga membenarkan permohonan pihak pembelaan agar tertuduh menyerah diri kepada mahkamah pada 7 Okt untuk memulakan hukuman, tertakluk kepada sebarang permohonan lanjut.

Jaminan tertuduh dilanjutkan mengikut terma dan syarat sedia ada.

Dalam penghakimannya, Hakim Hoong menekankan bahawa kecaman terhadap kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah perlu untuk menghalang pemerolehan atau layanan mesra daripada penjawat awam melalui pemberian barangan berharga, bagi kepentingan pihak-pihak yang terlibat dengan kapasiti rasmi penjawat awam.

Beliau berkata tertuduh menyalahgunakan kedudukannya dengan menerima hadiah daripada ahli perniagaan Ong Beng Seng walaupun mengetahui bahawa Ong terlibat dalam urusan perniagaan yang berkait rapat dengan tugas rasmi tertuduh.

Ketika itu, tertuduh adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemandu F1, yang bertanggungjawab menyelesaikan isu-isu dasar dan pelaksanaan di peringkat tinggi serta menyelaraskan usaha antara agensi kerajaan dengan Singapore GP Pte Ltd (SGP), manakala Ong merupakan pemilik kepentingan lebih 90 peratus saham dalam SGP.

"Walaupun tiada bukti bahawa tertuduh menggunakan pengaruhnya terhadap urusan perniagaan yang berkaitan, iaitu Kontrak F1 Singapura dan Kontrak T315, tahap kesalahan tertuduh tidak boleh dianggap remeh memandangkan pengalaman dan kedudukannya sebagai menteri," katanya.

Iswaran, yang memakai sut berwarna gelap enggan mengulas ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Pada 24 September, Iswaran mengaku bersalah dan disabitkan atas lima pertuduhan -- empat pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima barangan berharga secara tidak sah daripada dua ahli perniagaan, Ong dan Lum Kok Seng, serta satu pertuduhan menghalang keadilan di bawah Seksyen 204A(a) Kanun Keseksaan.

Iswaran pada asalnya menghadapi 35 pertuduhan termasuk dua di bawah Akta Pencegahan Rasuah (PCA).

Pendakwaan memaklumkan mahkamah pada hari pertama perbicaraan bahawa ia akan meneruskan lima pertuduhan itu, manakala pertuduhan di bawah PCA digantikan dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sebanyak 30 pertuduhan lain di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan turut diambil kira.

Iswaran didakwa menerima hadiah berjumlah S$403,297.92, termasuk 10 tiket Grand Prix Formula 1 Singapura, tiket penerbangan kelas perniagaan dan penginapan hotel di Doha.

Pertuduhan menghalang keadilan pula berkaitan dengan bayaran balik sebanyak S$5,700 yang dibayar Iswaran kepada SGP bagi kos tiket penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura yang ditanggung oleh Ong pada 2022.

Pelbagai barangan termasuk wain dan wiski, kayu golf serta basikal Brompton T-Line yang bernilai S$17,291.97 disita dan kemudian dilucut hak.

Iswaran juga menyerahkan semula S$380,305.95 kepada kerajaan, yang mewakili nilai hadiah yang digunakan.

Iswaran merupakan bekas anggota Kabinet pertama di Singapura yang dibicarakan di mahkamah dalam tempoh hampir lima dekad, menjadikan kes ini antara kes berprofil tinggi di negara itu.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan menghukum penjawat awam yang menerima sebarang barangan berharga secara tidak sah daripada mana-mana pihak yang terlibat dalam urusan yang berkaitan dengan tugas rasmi mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan