BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pasukan Pengaman PBB Di Lubnan Teruskan Misi, Bersiap Sedia Untuk Pelbagai Senario

04/10/2024 09:44 AM

HAMILTON (Kanada), 4 Okt (Bernama-Anadolu) -- Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi operasi keamanan mengesahkan pada Khamis bahawa pasukan pengaman di Lubnan terus melaksanakan misinya.

"Pasukan pengaman UNIFIL (Pasukan Interim PBB di Lubnan) berasa bertanggungjawab untuk meneruskan tugas," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Jean-Pierre Lacroix, Setiausaha Agung Bahagian Operasi Keamanan PBB, kepada wartawan dalam sidang media di ibu pejabat PBB di New York.

Sambil berkongsi bahawa terdapat 10,058 anggota pengaman di Lubnan, Lacroix berkata pasukan UNIFIL berasa bertanggungjawab terhadap mandat yang diberikan kepada mereka oleh Majlis Keselamatan. Namun mereka juga berasa bertanggungjawab kepada penduduk di selatan Lubnan."

Walaupun berdepan cabaran, misi pengaman itu meneruskan tugasnya dan mengesahkan bahawa "rancangan kontingensi sudah sedia dan sentiasa dikemas kini", katanya.

"Jelas sekali, kami telah menyediakan beberapa senario sekiranya keadaan bertambah buruk, yang mungkin membawa kepada, diharapkan tidak, pemindahan sebahagian atau keseluruhan pasukan," kata Lacroix.

Apabila ditanya mengenai bagaimana UNIFIL berhasrat melindungi penduduk awam di Lubnan, Lacroix berkata anggota pengaman akan melakukan segala yang termampu untuk melindungi penduduk, tanpa memberikan butiran lanjut.

Walaupun peperangan rentas sempadan antara Hizbullah dan Israel bermula selepas konflik Gaza Oktober lalu, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran pada 23 Sept ke atas apa yang dikatakan sebagai sasaran Hizbullah di seluruh Lubnan.

Selain membunuh pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah dan beberapa komander lain, Israel membunuh lebih 1,100 orang serta menyebabkan puluhan ribu lagi kehilangan tempat tinggal.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan