BELANJAWAN 2024 > BERITA

Industri Semikonduktor Malaysia Perlu Dipelbagaikan Bagi Perkukuh Kedudukan Global

04/10/2024 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Industri semikonduktor Malaysia perlu dipelbagaikan dan tidak terlalu bergantung kepada syarikat multinasional dan keupayaan pembuatan untuk memperkukuh kedudukannya di pasaran global, terutama dalam menghadapi potensi gangguan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau menekankan keperluan kepada ekosistem lebih dinamik yang merangkumi syarikat pemula niaga, perintis teknologi inovatif, dan gabungan modal teroka dan ekuiti persendirian (PE) untuk memacu pertumbuhan.

“Malaysia ternyata berada pada kedudukan yang sesuai dalam senario semikonduktor dan kecerdasan buatan global.

“Walaupun ini perkhabaran yang baik, kedudukan ini tidak menjamin. Ia adalah persekitaran yang sangat berdaya saing dan dinamik, dan dengan peningkatan strategi pengurangan risiko dan China+1, landskap ini secara asasnya telah berubah,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia 2024 di sini hari ini.

Rafizi berkata dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, cabaran ini telah mengubah rantaian nilai daripada proses backend kepada operasi bahagian depan -- beralih daripada pemasangan dan ujian kepada mereka bentuk cip.

“Apabila kita bercakap mengenai reka bentuk litar bersepadu (IC), ia mengenai inovasi, teknologi, penyelidikan dan pembangunan.

“Oleh itu, ia lebih kepada persekitaran syarikat pemula niaga yang bermaksud, anda memerlukan pelbagai kategori individu, pelbagai kategori profil risiko dan ini memerlukan pelbagai jenis pembiayaan dan model perniagaan. Itulah sebabnya kami memerlukan modal teroka dan firma PE,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, permintaan industri terhadap jurutera akan terus berkembang.

“Saya berpendapat, mereka menganggarkan kita memerlukan kira-kira 60,000 jurutera dan disebabkan itu, jabatan kerajaan, agensi, sektor swasta dan universiti bekerjasama untuk memastikan kita dapat memenuhi permintaan ini,” katanya.

 Beliau berkata Malaysia mempunyai operasi yang besar dalam sektor elektrik dan elektronik, yang menyumbang kira-kira lapan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara, atau kira-kira RM143 bilion pada setiap tahun, disokong oleh usaha berdekad dalam mendorong kedudukannya untuk menjadi pemain utama dalam rantaian bekalan global.

Sementara itu, Rafizi gembira memandangkan hanya dalam tempoh lima bulan, tujuh firma telah menyertai IC Design Park di Puchong, mewujudkan kira-kira 600 pekerjaan dalam reka bentuk cip bahagian hadapan, dengan rancangan untuk menarik 15 lagi syarikat asing yang telah menunjukkan minat yang tinggi.

"Sekiranya kita dapat mengekalkan momentum ini, kita seharusnya dapat mencapai sasaran untuk mendapatkan 20,000 profesional berkemahiran tinggi," katanya.

Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor 2024 dianjurkan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital (Sidec) Selangor dengan kerjasama Malaysia Advanced Semiconductor Academy.

Dengan lebih 25 syarikat terkemuka menyertai program itu dan 2,000 graduan yang berdaftar, hari pengambilan pekerja itu diadakan untuk menghubungkan pencari kerja dengan pemain industri utama.

Syarikat utama yang mengambil bahagian termasuklah NXP, Renesas, Infineon, Inari Amertron, Neways, Vitrox, STMicroelectronics, HCLTech, Chipsbank, Betterlife, Oppstar, Synopsys, Skyechip dan AppAsia.

Syarikat-syarikat ini bergiat aktif untuk merekrut jawatan seperti jurutera reka bentuk RTL, jurutera pengesahbetulan reka bentuk, jurutera reka bentuk fizikal, jurutera reka bentuk litar analog dan jurutera reka letak, dengan gaji permulaan sebanyak RM5,000 untuk jurutera di peringkat permulaan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan