BELANJAWAN 2024 > BERITA

Songket Malaysia Jadi Tumpuan Di Amerika Syarikat

04/10/2024 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Songket, tekstil tradisional Malaysia, dipamerkan buat pertama kali di Amerika Syarikat dalam satu acara di Muzium The George Washington University dan Muzium Tekstil, Washington, D.C.

Acara yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia itu memperkenalkan tradisi mewah dan keindahan Songket kepada hadirin Amerika.

Majlis itu dirasmikan Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, acara berkenaan dihadiri hampir 200 tetamu, secara langsung dan dalam talian, termasuk Pengarah Muzium The George Washington University dan Muzium Tekstil, Dr John Wetenhall serta Penyelaras Akademik Pusat Kajian Cotsen Textile Traces, Karthika Audinet.

Dalam satu kenyataan, Kedutaan Malaysia memaklumkan bahawa kuliah hibrid dan pameran mikro diadakan bersempena acara berkenaan.

Kurator Kanan Bahagian Pengurusan Koleksi Jabatan Muzium Malaysia Nirmala Sharippudin, Pengarah Muzium Tekstil Negara Malaysia Tengku Intan Rahimah Tengku Mat Saman dan Penyelidik Tekstil serta Penolong Setiausaha di Kementerian Pendidikan Malaysia Khairul Anwar membuat pembentangan mengenai Songket, yang terkenal dengan sutera mewah yang disulam dengan benang emas atau perak berkilauan.

"Para hadirin berpeluang melihat sekilas koleksi Songket bersejarah yang jarang ditemui, dengan beberapa helai berasal dari tahun 1800-an, menonjolkan keindahan dan evolusi tekstil ini dari masa ke masa," katanya.

Songket yang secara tradisinya dipakai semasa majlis penting, berfungsi sebagai simbol kekayaan budaya Malaysia, menggabungkan reka bentuk rumit dengan makna mendalam.

Songket diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara pada 2021.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kedutaan Malaysia memaklumkan bahawa mereka akan menganjurkan program 'Hari Songket Malaysia' dari 11 hingga 25 Oktober.

Acara itu akan diadakan di Kedutaan Malaysia di Washington, D.C., dan akan menampilkan pameran, pertunjukan fesyen serta demonstrasi tenunan Songket.

Mohamed Nazri berkata beliau memilih untuk mempromosikan Songket bagi menandakan sambutan Hari Malaysia ke-61, supaya para tetamu dapat menghargai keindahan seni kraf tangan ini.

"Selain menghormati warisan kita, saya juga ingin mempromosikan pertukaran budaya dan pemahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat," katanya.

"Saya berharap ini akan menarik minat global terhadap tekstil tradisional kita dan memudahkan kemasukannya ke pasaran yang lebih luas."

Perayaan selama dua minggu itu akan dimulakan dengan Pertunjukan Fesyen “The Magnificent Golden Threads of Songket” dan pelancaran rasmi Pameran Hari Songket Malaysia pada 10 Oktober.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakry Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad Petra, juga akan hadir untuk merasmikan dan menyokong Songket Malaysia di Washington, D.C., menurut kenyataan itu.

Pertunjukan fesyen itu akan menampilkan hasil ciptaan pereka terkenal Malaysia, Sharifah Kirana serta pereka muda yang sedang meningkat, Zachrin Jaafars.

Tekstil Songket dari Muzium Tekstil Negara Malaysia turut akan dipamerkan.

Beberapa artis dan penggiat seni akan diterbangkan ke Washington untuk pelancaran itu. Antaranya ialah Adiguru Kelthom Hussein, pemilik Che Minah Songket, yang akan menunjukkan seni tenunan Songket.

Peminat seni juga berpeluang menyaksikan demonstrasi langsung lukisan mural oleh artis Dani Omar, yang menggunakan media campuran.

Pameran Hari Songket Malaysia akan dibuka kepada orang awam di Kedutaan Malaysia yang terletak di 3516 International Court, N.W., Washington, D.C., dari 2 petang hingga 4 petang setiap hari sepanjang acara berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan