BELANJAWAN 2024 > BERITA

Malaysia, Indonesia Perintis Inovasi Kewangan Awam Islam

04/10/2024 08:26 PM

JAKARTA, 4 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia diiktiraf sebagai perintis dalam membangunkan instrumen kewangan awam Islam dalam dasar fiskal, menurut Kementerian Keuangan Indonesia.

Ia berkata instrumen berkenaan menyatukan prinsip Islam seperti keadilan dan kesaksamaan, menyediakan pembiayaan yang penting untuk belanjawan kerajaan, dan meningkatkan keterangkuman dengan ketara, kebajikan sosial dan tadbir urus yang mampan.

Kedua-dua negara telah mencapai kemajuan yang ketara menerusi pelbagai produk inovasi seperti sukuk hijau, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) Kemampanan dan sukuk berkaitan wakaf tunai, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Ia turut menekankan bahawa kewangan awam Islam berjaya menghasilkan inovasi global pada tahap yang terbaik terutamanya kemajuan sukuk berkaitan kemampanan.

Menteri Kewangan II Malaysia Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan rangka kerja Ekonomi MADANI telah menjadi asas kepada prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh sejak 24 tahun lalu.

Rangka kerja ini dibina berdasarkan enam nilai teras: Kemampanan, Ihsan, Hormat, Inovasi, Kemakmuran dan Amanah, yang selaras dengan prinsip Maqasid al-Shariah, yang digubal dengan tumpuan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memetakan hala tuju baharu untuk landskap sosio-ekonomi Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika memberi syarahan pada Persidangan Kewangan Islam Tahunan (AIFC) kelapan yang diadakan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Menteri Kewangan Indonesia Thomas A. M. Djiwandono, dalam ucapan pembukaannya, menekankan keperluan untuk pendekatan inovatif dalam mengurus ekonomi dan kewangan awam sebagai tindak balas kepada ekonomi global yang dinamik.

Beliau berkata paradigma ekonomi Islam yang berdasarkan prinsip Maqasid al-Shariah iaitu keadilan, kesaksamaan, kebajikan sosial, dan tadbir urus beretika boleh memberikan pandangan berharga untuk penggemblengan sumber dan pembangunan sosioekonomi.

Peserta juga digesa untuk bekerjasama dalam membangunkan kewangan Islam bagi mewujudkan sistem ekonomi global yang memberi manfaat kepada masyarakat Islam dan seluruh dunia.

AIFC kelapan itu disokong oleh Bank Pembangunan Islam, Jawatankuasa Kebangsaan bagi Ekonomi dan Kewangan Islam, Persatuan Ahli Ekonomi Islam Indonesia, Universitas Indonesia, dan Bank Syariah Indonesia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan