BELANJAWAN 2024 > BERITA

Hujan Lebat, Tanah Runtuh Ragut 14 Nyawa Di Bosnia Herzegovina

04/10/2024 08:42 PM

BELGRADE (Serbia), 4 Okt (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 14 orang maut akibat hujan lebat berterusan, tanah runtuh, dan banjir di Bosnia Herzegovina, lapor Agensi Anadolu, memetik pegawai pada Jumaat.

Pentadbiran Perlindungan Awam menyeru rakyat agar mengelak daripada menggunakan jalan menuju ke kawasan perbandaran Konjic dan Jablanica, serta menggesa semua pihak mematuhi arahan perkhidmatan penyelamat untuk mencegah korban lebih lanjut.

Ramai penduduk terpaksa berpindah selepas hujan lebat menyebabkan sungai melimpah dan mencetuskan tanah runtuh, sekali gus mengganggu kehidupan di Jablanica dan Konjic.

Sementara itu, dilaporkan laluan utama di wilayah itu telah terhalang dan menyukarkan usaha menyelamat.

Angkatan Tentera Bosnia dan Herzegovina turut terlibat dalam membantu penduduk awam yang berisiko akibat banjir.

Menurut Palang Merah Persekutuan Bosnia dan Herzegovina, lebih 20 bangunan kediaman musnah, dan kehidupan serta kesihatan ratusan isi rumah di Bosnia dan Herzegovina berada dalam risiko besar.

Selain itu, pihak Kereta Api mengumumkan bahawa terdapat kerosakan serius pada kemudahan kereta api sepanjang 17 kilometer (10.6 batu) yang menghubungkan ibu kota Sarajevo.

Selain di utara Herzegovina dan sebahagian Bosnia tengah, kawasan perbandaran Kresevo, Kiseljak, dan Fojnica turut terjejas akibat banjir.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan