BELANJAWAN 2024 > BERITA

MIBS 2024 Beri Tumpuan Perkasa PKS Dan Usahawan Wanita

04/10/2024 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia (MIBS) 2024 yang ke-19 akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan wanita.

Program yang dianjur bersama Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita) itu turut bertujuan mencungkil potensi pengembangan perniagaan golongan tersebut.

Presiden Wawasanita, Dr Norli @ Norlaili Alias berkata sebanyak 100 usahawan di bawah bimbingan Wawasanita akan turut menyertai pameran yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Oktober ini.

“Tahun ini, pembabitan 100 usahawan ini terdiri daripada lima kluster antaranya produk penjagaan kesihatan dan kecantikan, makanan dan minuman, budaya teh, barangan isi rumah, serta hadiah dan produk pengguna.

“Tahun ini, kita akan memberi fokus kepada pengusaha makanan dan minuman seperti pengusaha sarang burung dan durian Musang King kerana ini merupakan produk utama yang mendapat permintaan tinggi dari China,” katanya yang juga penganjur bersama MIBS 2024 kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), Tan Sri Dr Sharifah Zarrah Syed Ahmad berkata usaha Wawasanita melibatkan PKS serta usahawan wanita dalam pameran ini merupakan langkah yang baik bagi mengembangkan serta memperkenalkan produk-produk mereka ke pasaran yang lebih besar.

“Melalui pameran ini, kita juga dapat mengenal pasti potensi perniagaan serta produk-produk mereka yang pelbagai dan memastikan agar mereka tidak ketinggalan.

“Saya berharap melalui pameran ini, selain daripada mengangkat martabat wanita dan PKS, ia juga mampu menjadikan mereka sebagai peniaga dan pengeksport,” katanya.

MIBS 2024 edisi ke-19 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang menghimpunkan usahawan tempatan serta antarabangsa seperti dari Taiwan, Pakistan, Jepun, dan Korea Selatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan