BELANJAWAN 2024 > BERITA

Insiden Kekecohan Segelintir Warga Palestin Bukan Alasan Hantar Mereka Pulang

04/10/2024 09:56 PM

SINTOK, 4 Okt (Bernama) -- Insiden kekecohan membabitkan sekumpulan warga Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur, dengan anggota keselamatan baru-baru ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menghantar mereka pulang ke negara asal.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata adalah tidak masuk akal untuk kerajaan berbuat demikian ketika negara mereka sedang menghadapi peperangan.

Justeru, beliau meminta rakyat Malaysia untuk tidak membuat kesimpulan secara umum susulan insiden itu dan tidak menyalahkan warga Palestin secara keseluruhannya.

“Apa yang penting kita cari penyelesaian bagaimana undang-undang sedia ada boleh kita guna pakai untuk disesuaikan dengan keberadaan mereka di sini, itu yang paling penting.

“KDN (Kementerian Dalam Negeri) bersedia untuk memberikan kerjasama kerana akta yang berkaitan (untuk mereka berada di negara ini) di bawah kawal selia kita.

“Ia berkaitan dengan jenis pas yang sesuai untuk mereka berada di sini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall Bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Sebelum ini video memaparkan beberapa warga Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur melakukan kekecohan, tular dalam media sosial.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata keputusan kerajaan untuk membawa warga Palestin yang cedera khususnya kanak-kanak ekoran perang di negara mereka adalah sebagai komitmen kemanusiaan.

Beliau berkata insiden kekecohan itu tercetus disebabkan segelintir daripada mereka yang tidak berpuas hati kerana diletakkan di pusat perlindungan berkenaan dan pergerakan mereka dihadkan.

“Keberadaan mereka di sini pada asalnya untuk dirawat, jadi pas yang dikeluarkan sesuai untuk tujuan itu. Jadi, pada peringkat KDN sebenarnya kita telah berbincang untuk mencari jalan membawa cadangan supaya KDN keluarkan pas bersesuaian,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan