BELANJAWAN 2024 > BERITA

SUKOM OKU "Kilang" Cungkil Bakat Akar Umbi

05/10/2024 02:44 PM

PETALING JAYA, 5 Okt (Bernama) -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mahu penganjuran Sukan Komuniti (SUKOM) orang kurang upaya (OKU) menjadi “kilang” untuk mencungkil bakat sukan para negara di peringkat akar umbi.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata SUKOM OKU yang merupakan cetusan idea pihaknya merupakan platform terbaik menyalurkan bakat muda dengan fokus utama mereka yang berumur 5 hingga 12 tahun kepada persatuan sukan para negeri untuk digilap gilap bakat mereka. 

“Antara sukan yang menjadi tumpuan SUKOM adalah badminton, boccia, bola tampar duduk, bola sepak orang buta dan catur orang buta.

“Kami juga berharap dapat menemui lebih ramai bakat baharu dari golongan wanita yang berpotensi mewakili negara pada masa depan,” katanya kepada pemberita pada SUKOM OKU 2024 yang dianjurkan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya di sini hari ini.

Beliau juga berkata penganjuran SUKOM OKU merupakan kerjasama pihaknya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mencungkil bakat di lokaliti atau daerah masing-masing sekali gus memberi peluang kepada golongan istimewa tersebut bergiat aktif dalam sukan.

Megat D Shahriman berkata SUKOM OKU yang masuk edisi kedua selepas diadakan bersama Majlis Perbandaran Manjung di Perak tahun lepas diharap mampu dianjurkan sebanyak sekali setiap empat bulan bermula tahun depan.

Beliau berkata pada masa sama berharap agar SUKOM OKU dapat membuka mata PBT lain di seluruh negara untuk bekerjasama dalam melahirkan lebih ramai bintang sukan para negara pada masa depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan