BELANJAWAN 2024 > BERITA

Anwar Tekankan Keperluan Perkukuh Hubungan Ketenteraan Malaysia-Pakistan - Radio Pakistan

05/10/2024 02:58 PM

ISLAMABAD, 5 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menekankan keperluan bagi Malaysia dan Pakistan untuk memperkukuh hubungan ketenteraan mereka, menurut Radio Pakistan yang dimiliki oleh kerajaan.

Laporan tersebut menyatakan bahawa Anwar menegaskan "keperluan untuk meningkatkan hubungan dua hala, terutamanya hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara sahabat" semasa kunjungan hormat Ketua Angkatan Tentera Pakistan (CoAS) Jeneral Asim Munir.

Perdana Menteri mengakhiri lawatan negara selama tiga hari ke Pakistan semalam selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Shehbaz Sharif, dan menerima pengiktirafan awam tertinggi negara itu, Nishan-e-Pakistan oleh Presiden Pakistan Asif Ali Zardari.

Perdana Menteri Malaysia itu juga menyampaikan ucaptama di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) serta bertemu dengan komuniti perniagaan Malaysia dan Pakistan.

Radio Pakistan turut melaporkan bahawa Anwar memuji "peranan Angkatan Tentera Pakistan dalam keamanan dan kestabilan serantau, mengakui profesionalisme dan pengorbanan mereka dalam memerangi keganasan".

Beliau juga menjemput Jeneral Munir untuk mengunjungi Malaysia dan sebagai balasan Ketua Angkatan Tentera Pakistan itu mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas jemputan tersebut dan menghargai lawatan Perdana Menteri ke negara itu.

Munir berkata kepada radio negara itu, bahawa lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Pakistan akan membantu "memperkukuh lagi hubungan yang berterusan dan bersejarah antara kedua-dua negara serta angkatan tentera mereka".

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan