BELANJAWAN 2024 > BERITA

Azalina Gesa Beri Fokus Penuaan Aktif Seiring Malaysia Menuju Status Negara Tua

06/10/2024 10:22 AM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu menggandakan usaha dalam mempromosikan penuaan aktif sejajar dengan peralihan negara menuju status negara tua, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina menekankan kepentingan persiapan menghadapi populasi yang semakin menua kerana Malaysia dijangka mempunyai lebih lima juta penduduk berusia 60 tahun ke atas dalam beberapa tahun akan datang dan negara ini dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030, apabila 15 peratus daripada penduduknya berusia 60 tahun dan ke atas.

“Aktiviti fizikal amat penting untuk mengekalkan kesihatan, terutamanya apabila usia semakin meningkat. Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti fizikal adalah komponen utama untuk kekal sihat dengan membantu membina serta menguatkan otot,” katanya dalam ucapan perasmian yang dirakamkan sempena Simposium Antarabangsa Kedua mengenai Penuaan Aktif (ISAA), baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Abdul Aziz Abdul Razak, Pengerusi ISAA 2024 Prof Muhammad Lee Chee Pheng, Mrs Malaysia World 2024 Dr Shalini Devi Ramachandran serta atlet gusti lengan negara Navinder Kaur.

Simposium ISAA selama dua hari yang bermula pada Jumaat, kini menjadi acara tahunan, menghimpunkan penceramah dari lapan negara serta penyelidik dalam bidang geriatrik dan penuaan aktif.

Azalina menegaskan bahawa simposium ini merupakan platform berharga untuk berkongsi pengetahuan saintifik serta menyeru agar lebih banyak kajian dijalankan bagi menyokong populasi warga emas di Malaysia.

“Saya percaya simposium ini akan terus menyediakan maklumat dan pandangan penting, sekali gus membantu membudayakan penuaan aktif di Malaysia,” tambahnya.

Sebagai usaha advokasi dalam penuaan aktif, Azalina telah menubuhkan Pusat Penuaan Aktif pertama untuk individu berusia 60 tahun ke atas di kawasan Parlimen Pengerang, yang dikenali sebagai "Rakan Aktif Parlimen Pengerang.

Pusat ini antara lain, menyediakan program senaman untuk meningkatkan kesihatan jantung dan sistem muskuloskeletal.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan