BELANJAWAN 2024 > BERITA

Jumlah Kematian Akibat Banjir Besar Di Bosnia Dan Herzegovina Meningkat Kepada 18 - Pihak Berkuasa

06/10/2024 10:12 PM

BELGRADE, 6 Okt (Bernama-Sputnik) -- Jumlah kematian akibat banjir besar di Kanton Herzegovina-Neretva dan Kanton Bosnia Tengah di barat daya Bosnia dan Herzegovina (BiH) telah meningkat kepada 18 orang, kata pihak berkuasa tempatan pada Ahad, lapor Sputnik.

Hujan lebat dan tanah runtuh dalam beberapa hari kebelakangan ini telah menyebabkan banjir teruk di Kanton Herzegovina-Neretva, khususnya di kawasan perbandaran Jablanica.

Pada Jumaat, Kerajaan Persekutuan Bosnia dan Herzegovina bersama Republika Srpska, mengisytiharkan darurat akibat banjir di Kanton Herzegovina-Neretva.

"Menurut data rasmi dari ibu pejabat perlindungan awam Kanton Herzegovina-Neretva dan Kementerian Dalam Negeri, jumlah kematian di kawasan yang terjejas banjir telah meningkat kepada 15 orang, dengan 13 daripadanya ditemukan di Jablanica dan dua di perbandaran Konjic.

Penyelamat menemui dua lagi mayat pada Sabtu - satu di Kampung Buturovic Polje berhampiran Bandar Konjic, manakala satu lagi di Donya-Yablanitsa," kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.

Mayat tiga orang telah ditemukan di perbandaran Fojnica di Kanton Bosnia Tengah, menurut perkhidmatan kecemasan.

Bencana ini melanda kawasan pergunungan yang agak sukar diakses berhampiran Sungai Neretva. Pada Jumaat, syarikat penyiaran negara, BH Telecom, memutuskan untuk memperuntukkan 1.5 juta convertible mark  (US$823,650) untuk kawasan terjejas. Sementara itu, pihak berkuasa BiH telah menghantar unit kejuruteraan tentera ke kawasan banjir untuk menilai keadaan serta sebuah helikopter tentera untuk memindahkan mangsa.

Presiden Serbia Aleksandar Vucic menyatakan kesediaan untuk memberikan segala bantuan yang mungkin, manakala Presiden Republika Srpska Milorad Dodik mengumumkan sumbangan sebanyak 50,000 convertible mark (US$27,455) kepada setiap perbandaran yang terjejas.

-- BERNAMA-SPUTNIK

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan