BELANJAWAN 2024 > BERITA

Belanjawan 2025: Warga Pendidik Mahu Pendidikan Digital Diperkukuh, Infrastruktur Berkualiti

07/10/2024 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pengukuhan pendidikan digital yang diperkenalkan menerusi Dasar Pendidikan Digital oleh Kementerian Pendidikan (KPM) antara harapan warga pendidik pada Belanjawan 2025.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata sistem tersebut menjadi teras utama dalam pendidikan di Malaysia memandangkan terdapat keperluan bagi penyediaan infrastruktur berkualiti.

"Kita mengharapkan ia bukan sahaja berlaku di sebahagian sekolah tetapi keseluruhan sekolah di negara ini menerusi peruntukan besar dalam penyediaan seperti infrastruktur, Internet, akses, gajet dan latihan guru.

"Kita juga berharap agar tumpuan diberikan kepada kemudahan asas di sekolah. Kita sudah mula dengan tandas sekolah bagi keselesaan murid dan diharapkan selepas ini pejabat atau bilik guru turut mendapat tumpuan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Anuar berharap peruntukan ditambah dan disalurkan kepada kumpulan sasar khususnya pelajar miskin seperti bantuan persekolahan bagi membolehkan semua pelajar berpeluang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. 

Beliau berkata ini termasuk Bantuan Awal Persekolahan, Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan biasiswa kepada golongan berkenaan yang perlu dilaksanakan secara berterusan. 

"Kita berhalangan untuk membina pendidikan berkualiti jika golongan tersebut tidak mendapat pendidikan yang baik. Masalah jurang antara yang kaya dan miskin akan mencetuskan masalah yang besar kepada sistem pendidikan kita," katanya.

Belanjawan 2025 yang bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Okt ini.

Sementara itu, aktivis pendidikan Mak Chee Kin menyarankan peruntukan secara terus diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk pembaikan, penyelenggaraan dan menaik taraf fasiliti sekolah berasaskan keperluan. 

Beliau berkata ini kerana sesetengah sekolah dalam keadaan uzur tetapi prosedur yang ada memerlukan sekolah memohon bantuan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyebabkan proses kelulusan peruntukan mengambil masa lebih lama. 

"Prosedur biasa menghendaki sekolah memohon bantuan daripada PPD atau JPN. Jika bernasib baik, sekolah akan mendapatkannya dalam masa setahun atau lebih lama. Dalam sesetengah kes hingga pengetua yang memohon (peruntukan) itu bersara, terutama jika jumlahnya besar. 

"Oleh itu, kita perlu kurangkan birokrasi dan membenarkan sekolah atau PIBG memohon terus daripada KPM. Kelulusan juga harus diberi secara terus bukan melalui JPN. Secara terbuka ini akan lebih menjimatkan untuk sekolah dan PIBG berurusan terus dengan kontraktor," katanya. 

Sementara itu, guru Roziani Mohamad Yusoff, 31, berharap Belanjawan 2025 mementingkan keperluan murid selain dapat memberikan manfaat lebih baik dalam meningkatkan kesejahteraan guru.

Antaranya, beliau berharap bantuan dapat dipertimbangkan dalam penyediaan alatan bantuan mengajar supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dalam situasi lebih kondusif serta menarik. 

"Sebagai pendidik, saya mengharapkan kerajaan turut memberi perhatian kepada infrastruktur dan kemudahan di tempat kerja yang mencukupi serta lebih baik terutamanya di kawasan luar bandar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan