BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 
 BELANJAWAN 2024 > BERITA

PM Anwar Ucap Takziah Kepada Keluarga Tiga Pelajar UiTM Maut Kemalangan Di Dungun

10/10/2024 02:34 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun yang maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Sura, Dungun, Terengganu semalam.

Anwar menerusi hantaran di platform X hari ini berkata kes kemalangan itu sangat menyayat hati, dan beliau sendiri turut terkesan dengan kejadian tersebut.

“Semoga keluarga tabah hadapi dugaan ini dan mendapat keadilan yang sewajarnya,” kata Perdana Menteri.

Semalam, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Sharizal Shamsudin berkata panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pihaknya pada pukul 7.26 malam sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi nahas.

Dalam kejadian itu, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal  jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 ditunggang mangsa dan sebuah kereta Honda CRV dipandu seorang wanita.

Kereta berkenaan didapati merempuh kedua-dua motosikal yang dalam perjalanan ke universiti dari arah belakang menyebabkan sebuah daripada motosikal berkenaan diseret hampir 60 meter.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan, manakala pemandu wanita yang dipercayai menunjukkan tanda-tanda masalah mental dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan