BELANJAWAN 2024 > BERITA

Eksport Minyak Sawit Malaysia Naik 0.93 Peratus Kepada 1.54 Juta Tan Pada September -MPOB

10/10/2024 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan eksport minyak sawit pada September 2024 menyaksikan sedikit peningkatan iaitu 0.93 peratus kepada 1.54 juta tan metrik daripada 1.53 juta tan metrik pada Ogos 2024.

MPOB berkata pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia turun 3.8 peratus atau 71,926 tan metrik kepada 1.82 juta tan metrik pada September 2024 daripada 1.89 juta tan metrik pada Ogos.

Pengeluaran isirung sawit susut sebanyak 4.87 peratus bulan ke bulan kepada 433,785 tan metrik pada September daripada 455,976 tan metrik sebelum ini, kata MPOB dalam laporannya mengenai prestasi industri minyak sawit untuk September 2024.

Menurut badan itu lagi, pengeluaran minyak isirung sawit mentah pula susut sebanyak 6.45 peratus kepada 193,836 tan metrik daripada 207,194 tan metrik pada Ogos manakala dedak isirung sawit berkurang sebanyak 5.34 peratus kepada 215,166 tan metrik daripada 227,302 tan metrik sebelumnya.

Dari segi inventori, agensi itu melaporkan stok simpanan MSM meningkat 10.91 peratus kepada 1.06 juta tan metrik berbanding 953,145 tan metrik pada Ogos.

"Stok minyak sawit yang diproses bertambah 2.85 peratus kepada 956,726 tan metrik daripada 930,069 tan metrik pada bulan sebelumnya manakala jumlah stok minyak sawit menokok 6.93 peratus kepada 2.01 juta tan metrik daripada 1.88 juta tan metrik pada Ogos.

"MPOB mencatatkan lonjakan ketara dalam eksport minyak isirung sawit yang melonjak 45.06 peratus kepada 126,446 tan metrik pada September dari Ogos," katanya.

Jelas MPOB, eksport dedak isirung sawit berkembang 33.99 peratus kepada 232,944 tan metrik pada September dari Ogos.

Bagaimanapun, katanya, eksport oleokimia merosot sebanyak 5.72 peratus kepada 257,825 tan metrik daripada 273,395 tan metrik pada Ogos dan eksport biodiesel merosot secara mendadak sebanyak 43.95 peratus kepada 16,793 tan metrik daripada 29,963 tan metrik pada Ogos.

Menurut MPOB, import MSM kekal pada sifar manakala import minyak isirung sawit merosot 20.68 peratus kepada 10,887 tan metrik dari Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan