BELANJAWAN 2024 > BERITA

Sarawak Sedia Terajui Usaha Galakkan Ekonomi Mampan Global - Abang Johari

10/10/2024 04:18 PM

KUCHING, 10 Okt (Bernama) -- Sarawak bersedia untuk mempelajari serta menerajui ekonomi mampan global menerusi pembangunan tenaga hijau dan boleh diperbaharui, pertanian lestari serta inovasi digital.

Sehubungan itu, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata strategi pembangunan pasca COVID-19 2030 (PCDS  2030) menjadi pelan hala tuju negeri itu bagi mencapai ekonomi yang mampan.

“PCDS 2030 merangkumi inisiatif utama seperti meningkatkan infrastruktur digital dan menggalakkan teknologi hijau bagi kemajuan yang bermanfaat untuk semua masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan Sarawak yang julung kali diadakan di sini, hari ini, bagi menumpukan usaha meneroka strategi dan peluang pembangunan ekonomi.

Menjelaskan selanjutnya, Abang Johari berkata negeri itu sedang merangka hala tuju baharu bagi melaras aspek pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab ekologi menerusi penyepaduan pemulihan ekonomi dengan kemampanan dan inovasi.

“Di Sarawak, kami menyedari bahawa kemakmuran sebenar mesti melangkaui output ekonomi. Berikutan itu, adalah menjadi matlamat kami untuk membangunkan ekonomi yang kukuh, pelbagai serta mampan yang dapat memberi manfaat kepada semua rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata tumpuan Sarawak juga beralih kepada pemisahan pertumbuhan ekonomi daripada pelepasan karbon dan pengurangan sumber kepada ekonomi hijau yang mengutamakan pembangunan mampan sambil meminimumkan kemerosotan alam sekitar bagi memastikan daya tahan jangka panjang. 

Bagi menggalakkan pertanian mampan, beliau berkata Sarawak juga dalam usaha merintis penanaman padi hibrid selain penanaman berteraskan kecerdasan buatan (AI) untuk memacu produktiviti luar bandar dan meningkatkan pendapatan bagi mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan tahap kehidupan.

“Kesemua usaha ini turut menyokong sasaran kami untuk memastikan Sarawak mampu berdikari dari segi pengeluaran beras menjelang 2027 bagi memastikan amalan pertanian mampan yang memberi manfaat kepada petani.

“Pada masa sama, ini dapat menepati sasaran lebih lestari, mengurangkan kebergantungan terhadap beras import, mengukuhkan keterjaminan makanan serta daya saing sektor pertanian Sarawak,” katanya.

Menyentuh aspek inovasi digital, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak telah membuat pelaburan besar dalam membangunkan internet berkelajuan tinggi, rangkaian 5G dan ketersambungan gentian optik untuk memupuk sektor ekonomi baharu.

Langkah itu juga membolehkan akses kepada infrastruktur digital yang menggalakkan pertumbuhan secara terangkum dan merentasi kawasan pedalaman dan bandar. Nadi strategi pembangunan kami adalah prinsip keterangkuman.

“Kesaksamaan sosial perlu menjadi prinsip asas dan panduan ketika membangunkan dasar dan program yang memastikan setiap rakyat negeri ini, tanpa mengira latar belakang, mempunyai akses terhadap pendidikan, pekerjaan serta keusahawanan,” katanya.

Kira-kira 500 orang menyertai forum sehari anjuran Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) yang turut menampilkan ahli ekonomi Amerika Syarikat dan penerima Anugerah Nobel bagi Sains Ekonomi Profesor Joseph Stiglitz.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan