BELANJAWAN 2024 > BERITA

600,000 Pekerja Perlu Pemahiran Semula Dalam Tempoh Lima Tahun - Sim

10/10/2024 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kira-kira 600,000 pekerja dikenal pasti memerlukan pemahiran semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang kesan daripada perkembangan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan ekonomi hijau.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kesemua mereka ialah pekerja dalam 10 sektor strategik terhadap ekonomi negara dikenal pasti menerusi fasa pertama Kajian Impak AI, Digitalisasi dan Ekonomi Hijau Terhadap Pasaran Kerja yang dilaksanakan kementeriannya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) serta pihak industri.

Beliau berkata 10 sektor berkenaan ialah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), perkhidmatan perniagaan global, pembuatan farmaseutikal, pembuatan dan perkhidmatan makanan, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, perniagaan borong dan runcit, peranti perubatan serta tenaga dan kuasa. 

Sehubungan itu, Sim berkata laporan berkenaan yang akan dikeluarkan pada bulan depan tidak harus dilihat daripada sudut negatif sebaliknya dijadikan asas mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang perkembangan.

"Saya tidak mahu orang ramai mengambil laporan ini dengan negatif, pesimistik atau sinis. Sebabnya kita melakukan ini supaya kerajaan, industri serta individu boleh bersedia mempersiapkan diri sendiri, tidak mahu caught of guard," katanya dalam satu taklimat mengenai kajian berkenaan di sini hari ini.

Sim berkata fasa pertama kajian melibatkan 10 sektor berkenaan menyumbang kira-kira RM933 bilion atau sekitar 60 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun lepas.

"Sektor-sektor ini juga ialah sektor yang mengambil paling ramai pekerja, lebih kurang 3.5 juta pekerja mahir dan separuh mahir," katanya sambil menambah fasa kajian seterusnya akan melibatkan 14 lagi sektor yang akan dikenal pasti. 

Mengulas lanjut, Sim berkata hasil kajian berkenaan akan dimasukkan dalam portal MyMAHIR Future Skills Talent Councils bagi membolehkan kerajaan sebagai pembuat dasar untuk melihat kesan AI, digitalisasi dan ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Selain itu, ia juga penting kepada pelabur bagi melihat ekosistem dan kemahiran pekerja di Malaysia serta untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) merangka strategi masing-masing.

"Seterusnya, paling penting ialah pekerja, supaya jika pekerjaan mereka terkesan apakah yang boleh dilakukan, begitu juga pelajar atau penuntut universiti agar bersedia untuk berhadapan dengan pasaran kerja masa depan.

"Laporan ini juga penting untuk ibu bapa memberikan informasi kepada anak-anak mereka terutama yang berumur 15 tahun ke bawah mengenai pilihan kerjaya pada masa hadapan, cita-cita dan inspirasi,”  katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan