BELANJAWAN 2024 > BERITA

Keluarga Teh Hong Piow Kurangkan Pegangan Dalam Public Bank Kepada 10 Peratus

10/10/2024 10:52 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Keluarga mendiang Tan Sri Teh Hong Piow dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd akan mengurangkan pegangan mereka dalam Public Bank Bhd kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun daripada 23.4 peratus ketika ini.

Pengurangan ini akan dilaksanakan melalui tawaran terhad bagi jualan (ROFS) saham Public Bank yang dipegang.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan telah meluluskan ROFS itu.

“Pada penghujung tempoh lima tahun itu, peratusan pegangan akan berada pada 10 peratus. Bagaimanapun, (keluarga kami akan) kekal sebagai pemegang saham utama Public Bank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan LPI Capital Sdn Bhd bagi pengambilalihan 44.15 peratus pegangan dalam Public Bank bernilai RM1.72 bilion.

Terdahulu, anak perempuan bongsu mendiang Teh, Diona Teh Li Shian, yang mewakili keluarga itu menjelaskan bahawa keputusan mengurangkan kawalan dan pegangan keluarga itu dalam Public Bank mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan.

“Sebagai menghormati legasi beliau dan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami, kami akan melaksanakan eksesais untuk mengagihkan sebahagian daripada saham Public Bank, pada harga diskaun, kepada semua kakitangan, pengarah dan pemegang saham Kumpulan Public Bank yang layak.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan Public Bank kekal diuruskan oleh mereka yang sentiasa  memastikan pertumbuhan dan kejayaannya, sejak dahulu lagi, sehingga membolehkan kami terus membina legasi bersama,” katanya.

Diona berkata bapanya sering memberitahu bahawa kejayaan Public Bank bukanlah kejayaan beliau secara individu namun dibina atas kepercayaan dan kesetiaan pemegang saham serta komitmen berterusan kakitangannya, atau apa yang beliau panggil sebagai “keluarga korporat” beliau.

Menurutnya, dana yang dijana daripada penjualan kepentingan itu akan kekal di Malaysia dan tidak akan dihantar pulang ke luar negara. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan