BELANJAWAN 2024 > BERITA

Toybox Creations Dari Malaysia Rangkul Anugerah Pemula Satu ASEAN Terbaik Di Vientiane

10/10/2024 08:09 PM

Oleh P. Vijian

PHNOM PENH, 10 Okt (Bernama) -- Syarikat berpangkalan di Malaysia, Toybox Creations and Technology Sdn Bhd, memenangi Anugerah Pemula Satu ASEAN 2024 dalam Kategori Digital/AI di Vientiane pada Rabu.

Syarikat itu menerima dana penyelidikan sebanyak RM42,200 (US$10,000) dan merangkul gelaran Anugerah Pemula Satu ASEAN Terbaik 2024.

Sementara itu, FINA Fintech dari Laos memenangi Kategori Pemula Berimpak.

Vientiane menjadi tuan rumah acara akhir itu selepas tiga acara awal diadakan di Manila, Kuala Lumpur dan Phnom Penh.

“Kami sangat teruja kerana peranti digital yang kami bangunkan bersama Universiti Malaya dan Universiti Sunway di Malaysia telah berjaya melengkapkan PoC (bukti konsep), dikomersialkan dan kini berkembang untuk menangani isu-isu sosial yang lumrah di ASEAN dengan berkesan,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Toybox Creations, Masaki Ishibashi, kepada Bernama.

Toybox Creations ialah syarikat teknologi pendidikan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dengan nama jenama TOY EIGHT (TOY8).

TOY8 memperkasakan  semua prasekolah yang memperjuangkan pendidikan inklusif dengan peranti digital terkini dan latihan guru,  sokongan praktikal untuk melaksanakan saringan pembangunan digital dan program intervensi awal dan dipacu data secara holistik termasuk operasi pendidikan yang mampan. 

Ishibashi berkata TOY8 mempunyai ramai rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi, dan Malaysia juga merupakan negara yang menarik bagi ekspatriat berbakat untuk bekerja, menyediakan kumpulan bakat yang baik. 

“Soalan mengenai apa yang boleh dicapai melalui alat digital dan inovasi adalah penting. Jika kita bertujuan untuk menangani isu sosial, adalah logik untuk menggunakan kemajuan digital dari Malaysia, sebagai sebahagian daripada ASEAN,” katanya.       

Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) yang berpangkalan di Jakarta menganjurkan pertandingan anugerah pemula ini untuk memupuk pertumbuhan ekosistem pemula di seluruh Asia Tenggara.

Presiden ERIA, Tetsuya Watanabe berkata pemula akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi ASEAN dalam tempoh sedekad akan datang.

"Dalam konteks ini, kerjasama rentas sempadan dalam kalangan pemula, sama ada di dalam atau di luar ASEAN, adalah lebih penting berbanding sebelum ini.

“Berdasarkan pengalaman luas kami dan pengetahuan mendalam tentang rantau ini, ERIA komited sepenuhnya untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem pemula,” kata Watanabe pada acara itu.

Peringkat akhir Anugerah Pemula Satu ASEAN 2024 diadakan semasa Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) yang dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.

ABIS diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN di Vientiane dari 8 hingga 11 Oktober.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan