BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kod Tatalaku Pelesenan Platform Media Sosial Diumumkan Hujung Bulan Ini - Fahmi Fadzil 

10/10/2024 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kod tatalaku pelesenan penyedia platform media sosial akan diumumkan selewat-lewatnya hujung Oktober ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata penyediaan draf kod tatalaku tersebut sedang diusahakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Tatalaku ini bertujuan untuk diteliti oleh  platform media sosial dalam tempoh dua bulan sebagai garis panduan sebelum mendaftar untuk pelesenan.

“Ia supaya mereka faham tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat Malaysia yang guna platform mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri rakaman “Podcast Kempen Kesedaran Kesihatan Mental” anjuran Suria KLCC, disini hari ini.

MCMC  sebelum ini memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu akan dikuatkuasa bermula 1 Jan 2025.

Ditanya mengenai kandungan kod tatalaku tersebut, Fahmi berkata beliau belum dimaklumkan oleh pihak MCMC berkaitan perkara itu, tetapi menjelaskan bahawa kod tersebut akan berubah mengikut peredaran masa dan perkembangan platform-platform media yang akan dilesenkan.

Sementara itu beliau berkata beberapa akta baru juga akan digubal seperti Akta Keselamatan Dalam Talian yang akan diuruskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata platform-platform media waktu ini tidak membenarkan penglibatan kanak-kanak, namun jika dilihat ia tidak dilaksanakan dengan baik kerana tiada kerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru Fahmi berkata dengan adanya kerangka ataupun apabila media sosial ini dilesenkan, kerjasama dengan pihak PDRM dan peguam akan lebih baik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan