BELANJAWAN 2024 > BERITA

Belanjawan 2025 Dijangka Sedia Asas Kepada Rancangan Malaysia Ke-13, Tangani Cabaran Kos Sara Hidup - MIER

10/10/2024 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025, yang akan dibentangkan pada 18 Oktober, merupakan belanjawan terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan dijangka menyediakan asas kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) yang akan datang.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dalam ulasan prabelanjawan 2025, belanjawan itu bertujuan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan langkah-langkah bersasar untuk menyokong sektor isi rumah, perniagaan dan ekonomi utama selain mengekalkan disiplin fiskal.

Belanjawan itu juga dijangka menangani cabaran mendesak seperti tekanan kos sara hidup, gaji tidak meningkat dan peralihan hijau, kata MIER.

Katanya kerajaan dijangka melonggarkan subsidi bahan api RON95 untuk mengurangkan tekanan inflasi dan menangani kenaikan kos sara hidup, bertujuan mengekalkan kadar inflasi dalam julat dua hingga tiga peratus.

Pada masa ini, 20 peratus isi rumah teratas menyumbang kira-kira 53 peratus daripada subsidi RON95, menyebabkan sistem itu tidak mampan dan tidak saksama.

Mengenai pembaharuan cukai, MIER berkata kerajaan dijangka memperkenalkan kadar cukai minimum global sebanyak 15 peratus, sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Perbincangan sedang dijalankan mengenai kemungkinan pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan.

“Tumpuan juga akan diberikan kepada pembaharuan cukai untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana. 

“Belanjawan itu berpotensi melanjutkan elaun pelaburan semula dan menaikkan had jaminan pinjaman Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang disokong kerajaan, daripada RM20 juta kepada RM30 juta,” katanya.

Menurut MIER, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 penting untuk menggalakkan pembuatan, automasi dan teknologi hijau bernilai tinggi.

“Belanjawan itu dijangka menyasarkan sektor seperti semikonduktor, automotif dan tenaga boleh baharu, bertujuan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan memacu pertumbuhan mampan,” katanya.

Bagi meningkatkan kadar sara diri, MIER berkata belanjawan itu dijangka memberi tumpuan kepada industri agromakanan, dengan pelaburan dalam pertanian mampan, penambahbaikan kepada rantaian bekalan dan strategi mitigasi perubahan iklim.

Belanjawan itu turut dijangka memberi keutamaan kepada automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, dengan sokongan kerajaan kepada industri bernilai tinggi seperti syarikat pemula niaga, inovasi teknologi, pembangunan panel solar dan infrastruktur kenderaan elektrik—menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau di bawah kerangka Ekonomi MADANI, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan