BELANJAWAN 2024 > BERITA

Tuanku Muhriz Titah Bela Nasib Kanak-kanak Terkait GISBH Di N. Sembilan - Aminuddin

10/10/2024 08:56 PM

SEREMBAN, 10 Okt (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan agar nasib kanak-kanak yang terkait dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini yang diselamatkan supaya dibela termasuk memberikan pendidikan perdana yang sempurna.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Tuanku Muhriz bertitah demikian semasa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang bersidang di Istana Seri Menanti dekat sini pagi tadi.

Beliau berkata Tuanku Muhriz turut mencadangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri supaya kanak-kanak berusia antara empat hingga 15 tahun yang tidak diambil ibu bapa mereka supaya diberi perhatian sewajarnya.

"Kanak-kanak ini perlu diberi perhatian khusus supaya mereka dapat pendidikan perdana dan kembali kepada masyarakat.

"Ini termasuk kanak-kanak yang diambil ibu bapa agar sentiasa dipantau dari semasa ke semasa sekali gus memastikan mereka dapat pendidikan lebih sempurna, kita tidak boleh biarkan duduk rumah begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis Pecah Tanah Negeri Sembilan Semiconductor Valley (NSSV) di sini hari ini.

Menurutnya di negeri ini terdapat kira-kira 400 kanak-kanak berusia empat hingga 15 tahun sebelum ini terkait dengan GISBH di empat daerah iaitu Seremban, Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu.

Sementara itu, Aminuddin berkata tiada fatwa baharu ditetapkan setakat ini berhubung ajaran dan kepercayaan GISBH di negeri ini.

“Tiada fatwa baharu. Bagaimanapun, Mufti Negeri Sembilan Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin kata mereka memang melanggar undang-undang, peraturan dan Rang Undang-Undang sedia ada seperti mana diamalkan Al-Arqam yang diwartakan sesat pada 2016,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan