BELANJAWAN 2024 > BERITA

Belanjawan 2025: Perkasakan Modal Insan Orang Asli Kelantan Melalui TVET

11/10/2024 11:18 AM

Oleh Siti Maisarah Ahmad

GUA MUSANG, 11 Okt (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli Kelantan berharap kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan sumber manusia dalam kalangan komuniti itu, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2025.

Penghulu Kampung Lambok, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Andi Angah, 44, berkata pemerkasaan Orang Asli melalui TVET adalah sangat penting untuk memastikan komuniti, terutama generasi muda, dapat maju seiring dengan perkembangan teknologi dan pemodenan negara.

"Saya harap kerajaan dapat memperbanyakkan lagi program motivasi dan pendidikan kemahiran kepada generasi muda Orang Asli dalam meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Ibu bapa dalam kalangan komuniti ini juga perlu diberi penerangan mengenai kepentingan ilmu supaya mereka dapat menggalakkan anak-anak mereka untuk terus menuntut ilmu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nari Abus, 48, dari Pos Bihai, yang bersetuju dengan pandangan Andi Angah, pula berkata melalui TVET, anak-anak Orang Asli berpeluang memperoleh pekerjaan berasaskan kemahiran atau bekerja sendiri untuk menjana pendapatan.

"Ramai dalam kalangan masyarakat kami, terutama golongan wanita, memiliki minat dalam bidang dandanan, gunting rambut, solekan, dan masakan.

"Malah, kaum lelaki pula suka membaiki motosikal dan kereta. Jadi, bagi saya, kemahiran seperti ini perlu diperkasakan supaya mereka yang tidak mahu berhijrah keluar dari kampung dapat mengusahakan bidang yang mereka ceburi," katanya

Norasyikin Uda, 46, dari suku kaum Temiar pula berkata program-program pendidikan kemahiran amat sesuai diberikan kepada generasi muda supaya mereka boleh menggunakan kemahiran bekerja dan tidak hanya duduk menganggur di kampung. 

"Sebenarnya, mereka perlu berhijrah ke tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan. Namun, disebabkan masalah kurang keyakinan diri, mereka lebih selesa berada di kampung dan hanya mengharapkan beberapa jenis pekerjaan yang ada, seperti menoreh getah dan menjadi buruh," katanya

Belanjawan 2025 yang bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 18 Okt ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan