BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pengurus Tokong Didakwa Terima Deposit Pelaburan Lebih RM70,000 Tanpa Lesen Sah

11/10/2024 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Seorang pengurus tokong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang deposit lebih RM70,000 daripada seorang wanita bagi tujuan pelaburan tanpa lesen sah, antara Januari hingga Mac lepas.

Sum Lai Yoong, 53, didakwa menerima wang RM70,589.79 daripada seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan pemilik syarikat sabun tangan, tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Taman Mutiara Barat, Cheras di sini antara 12 Jan dan 6 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin namun, peguam Luqman Zainal yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya menyara ibu yang sakit.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Nov ini untuk sebutan kes.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan