BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 BELANJAWAN 2024 > BERITA

Malaysia Seru Tindakan Global Ketika ASEAN Ketuai Usaha Penyelesaian Aman Isu Myanmar

11/10/2024 04:29 PM

Daripada Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 11 Okt (Bernama) -- Ketika ASEAN menerajui usaha bagi mencapai penyelesaian aman dan berkekalan terhadap isu Myanmar, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk melangkaui retorik dan mengambil peranan yang lebih proaktif dalam menyokong usaha blok itu.

Membuat gesaan itu pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 di sini pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

"Semua anggota ASEAN amat komited untuk memastikan bahawa rantau ini bebas daripada konflik dan ketegangan lain yang boleh menghalang usaha untuk mencapai keamanan dan kestabilan, terutamanya konflik yang berpunca daripada persaingan kuasa besar," katanya.

Poin utama ucapan Anwar telah dikongsikan kepada media oleh Pejabat Perdana Menteri.

Sidang Kemuncak Asia Timur merangkumi penyertaan 18 negara, termasuk 10 negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat (AS).

Anwar turut menyeru semua pihak untuk mengambil pendekatan kolaboratif dalam menyelesaikan pertikaian, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Mengenai Gaza, beliau berkata Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyeru supaya penamatan berterusan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya, serta sikap tidak peduli terhadap hak asasi manusia yang dilakukan oleh pelaku genosid.

Dalam masa yang sama, katanya, sidang kemuncak itu tidak boleh mengabaikan kesan buruk akibat konflik di Ukraine.

“Malaysia menentang sebarang tindakan keganasan dan pencabulan integriti serta kedaulatan wilayah. Malaysia menggesa semua pihak untuk berusaha ke arah penyelesaian damai melalui dialog dan diplomasi, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” tambahnya.

Perdana Menteri turut berkata Malaysia menyeru rakan dialog ASEAN untuk bekerjasama dengan blok serantau dalam mempromosikan persamaan mereka secara konstruktif dan melaksanakan Pelan Tindakan (POA) EAS yang baharu bagi tempoh 2024-2028.

“Sebagai Pengerusi ASEAN (tahun hadapan), Malaysia berhasrat untuk melaksanakan semula amalan mengguna pakai dan melaksanakan kertas konsep bertema untuk melaksanakan pelan itu,” katanya.

POA bertujuan memastikan penyelarasan, kerjasama dan pelaksanaan pernyataan, deklarasi, keputusan, serta inisiatif para pemimpin EAS secara praktikal.

Sidang Kemuncak EAS ke-19 diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan yang bermula pada 9 Okt sehingga hari ini.

Pada majlis penutup hari ini, Laos selaku Pengerusi ASEAN sekarang akan secara simbolik menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia, menandakan permulaan tempoh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, berkuat kuasa 1 Jan 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan