BELANJAWAN 2024 > BERITA

763 Kawasan Berisiko Banjir Di Pahang

11/10/2024 06:36 PM

KUANTAN, 11 Okt (Bernama) -- Sebanyak 763 kawasan di seluruh Pahang disenaraikan sebagai lokasi berisiko banjir , kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman.

Beliau berkata data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu merekodkan daerah yang mempunyai kawasan hotspot paling tinggi ialah Temerloh sebanyak 185 lokasi, diikuti Jerantut (106), Pekan (89), Lipis (88), Bera (70), Kuantan (64), Raub (56), Maran (51), Bentong (23), Rompin (20) dan Cameron Highlands (11). 

"Kebanyakan kawasan berisiko banjir ini di pinggir sungai dan di lokasi ini pasukan kita akan memantau secara berkala mengikut ramalan Jabatan Meteorologi. 

"Selain itu, kami juga dimaklumkan siren amaran awal banjir juga berfungsi dengan baik ketika ujian diadakan minggu lepas," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Sementara itu, beliau berkata APM selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang telah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada November hingga Mac tahun depan dengan kekuatan anggota dan pegawai seramai 660 orang. 

Menurut Che Adam, 17 bilik gerakan APM Pahang akan beroperasi 24 jam sehari melibatkan satu Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON), 11 Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) dan lima Pusat Kawalan Operasi Unit. 

Beliau berkata bagi melancarkan operasi menyelamat sejumlah aset telah diselenggarakan antaranya kenderaan penyelamat perubatan (MRV) sebanyak 24 unit, kenderaan penyelamat berat (HRV) (15 unit) dan bot pelbagai saiz (72 unit). 

Tahun ini katanya APM Pahang turut menerima lima bot baharu yang ditempatkan di kawasan pendalaman di daerah Jerantut, melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). 

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang turut memaklumkan sebanyak 858 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kapasiti 166,295 siap untuk beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir. 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan APM Pahang juga memainkan peranan sebagai pusat pengumpulan bantuan barang bencana justeru masyarakat boleh menyalurkan sumbangan kepada agensi berkenaan untuk diselaraskan dan diedarkan kepada mangsa banjir. 

Che Adam turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menularkan semula kejadian banjir sebelum ini yang akan menimbulkan kegusaran penduduk selain sentiasa menyemak maklumat yang sahih daripada agensi berkaitan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan