BELANJAWAN 2024 > BERITA

Dasar Monetari Global Berubah Namun Malaysia Ambil Pendekatan Lebih Berhati-hati

11/10/2024 06:36 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Pengurangan kadar faedah di beberapa negara di seluruh dunia mencerminkan peralihan dasar monetari global kepada pendirian yang lebih longgar, didorong oleh keadaan ekonomi domestik yang berbeza, kata penganalisis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata pendekatan Malaysia mungkin berlainan kerana Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan menumpukan kepada asas domestik dan bukan semata-mata mengikut trend dunia.

“Ketika bank-bank pusat lain menurunkan kadar faedah, BNM dijangka mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati. Kami menjangkakan BNM mengekalkan kadar faedah utama pada 3.0 peratus sepanjang 2025,” katanya kepada Bernama.

Jangkaan itu disokong oleh inflasi keseluruhan Malaysia, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) menjadi sederhana kepada 1.9 peratus pada Ogos 2024, di samping pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh.

Beliau berkata walaupun inflasi terkawal dengan baik, strategi ekonomi Malaysia yang menyeluruh perlu mengambil kira faktor luaran seperti turun naik mata wang dan kemungkiinan berlaku peralihan permintaan global.

Mohd Sedek berkata penyesuaian kepada dasar monetari BNM dijangka melibatkan kadar faedah dan langkah makroekonomi yang lebih luas untuk memastikan kestabilan harga, menyokong keyakinan pelabur dan melindungi daya tahan ekonomi jangka masa panjang.

 

Pengurangan Kadar Global

 

Beliau berkata Reserve Bank of India (RBI) beralih daripada pendirian dasar monetari yang ketat dan cenderung terhadap kadar faedah tinggi sebelum ini kepada pendirian yang lebih neutral, menandakan pelarasan yang berhati-hati namun strategik.

Sebaliknya, Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) mengambil pendekatan lebih berani apabila bank pusat itu mengurangkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas (bps) sebagai tindak balas terhadap pertumbuhan yang lembap, walaupun tekanan inflasinya berterusan.

“Pendirian proaktif ini mengutamakan pertumbuhan ekonomi berbanding kebimbangan inflasi, satu pengajaran untuk Malaysia, apabila daya tahan ekonomi kekal sebagai fokus penting,” katanya.

Mohd Sedek berkata contoh lain ialah Bank of Korea (BOK) di Korea Selatan, mengurangkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak suku mata peratusan kepada 3.25 peratus semasa semakan dasar monetarinya.

Itu adalah pengurangan pertama bagi kadar faedah dasarnya dalam tempoh empat setengah tahun, katanya.

“Walaupun inflasi terus menunjukkan penurunan yang stabil namun, peningkatan pesat dari segi hutang isi rumah kekal sebagai risiko utama, mungkin menangguhkan pengurangan kadar yang lebih muktamad. Malaysia mungkin ada beberapa persamaan di sini, menghadapi rintangannya sendiri dalam mengawal inflasi dan cabaran fiskal,” katanya.

 

Kekalkan atau Turunkan Kadar Faedah Semasa

 

Mohd Sedek menekankan bahawa mengekalkan kadar faedah semasa mempunyai banyak kelebihan termasuk kawalan berkesan terhadap inflasi dan perlindungan ke atas kuasa beli pengguna.

Beliau berkata persekitaran kadar faedah stabil boleh menghalang peminjaman dan penggunaan berlebihan, ia membantu mengurangkan tekanan inflasi yang boleh memberi kesan kepada paras pendapatan benar.

Sebaliknya, melaksanakan penurunan kadar boleh memberikan kelegaan segera dengan mengurangkan kos pinjaman dan berpotensi merangsang aktiviti ekonomi.

Bagaimanapun, tindakan sedemikian membawa risiko yang besar terutamanya hutang isi rumah bermungkinan akan meningkat, katanya.

"Walaupun pelepasan jangka pendek mungkin menarik, kadar lebih rendah secara tidak sengaja boleh menggalakkan tahap kadar hutang berlebihan, membawa kepada jumlah gagal untuk membayar hutang lebih tinggi jika keadaan ekonomi merosot atau inflasi meningkat.

"Memandangkan hutang isi rumah Malaysia kekal sihat, justeru menambah risiko mungkin tidak perlu," katanya.

Oleh itu, berdasarkan keadaan ekonomi semasa, mengekalkan kadar faedah adalah bermanfaat untuk Malaysia, katanya.

 

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM akan datang

 

Mohd Sedek menggesa BNM memantau dengan teliti pelbagai petunjuk menjelang mesyuarat MPC terakhir tahun ini dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 6 November depan.

Walaupun data ekonomi domestik termasuk statistik pasaran buruh, kadar inflasi dan angka pengeluaran adalah penting untuk menilai kesihatan ekonomi Malaysia, pada masa sama kepentingan faktor luaran juga perlu diberi perhatian.

Ini termasuk pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) akan datang, ditambah pula dengan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS dan risiko geopolitik yang berlanjutan.

"Perubahan dalam dasar monetari AS mempunyai impak ketara terhadap aliran modal global, kadar pertukaran asing dan sentimen pelabur secara keseluruhan. Apabila Fed AS mengamalkan pendirian akomodatif seperti menurunkan kadar faedah, ia secara umum membawa kepada hasil lebih rendah di AS.

"Keadaan ini mendorong pelabur mencari pulangan lebih tinggi di tempat lain, menjadikan pasaran baharu muncul seperti Malaysia lebih menarik kepada aliran masuk modal, seterusnya Malaysia mungkin menyaksikan peningkatan dalam pelaburan asing yang boleh membawa kepada peningkatan nilai ringgit," katanya.

Peningkatan ringgit boleh membantu mengurangkan tekanan inflasi kerana mata wang lebih kukuh pada kebiasaanya mengurangkan kos barangan import, memberi manfaat kepada pengguna dan meningkatkan sentimen ekonomi secara keseluruhan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan