BELANJAWAN 2024 > BERITA

DOSM Berjaya Capai 105 Peratus Hasil Pelaksanaan Operasi Banci Pertanian

11/10/2024 07:26 PM

LANGKAWI, 11 Okt (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berjaya mencapai 105 peratus hasil pelaksanaan operasi Banci Pertanian yang bermula 7 Julai lepas dan berakhir semalam.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata hasil bancian itu akan menjadi asas kepada penyediaan petunjuk keterjaminan makanan dan pembangunan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR).

"Tujuan utama bancian ini adalah untuk mendapatkan struktur dan ciri-ciri sektor pertanian yang komprehensif bagi pegangan pertanian dan ia memberi gambaran menyeluruh mengenai sektor pertanian negara melibatkan empat subsektor utama iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan.

"Kali terakhir bancian ini dibuat adalah pada 2005…pada peringkat awal pelaksanaan banci ini, terdapat 1,197,309 pegangan pertanian terdiri daripada 1,177,556 atau 98.4 peratus isi rumah dan 19,753 atau 1.6 peratus pertubuhan perniagaan yang aktif," katanya selepas sesi lawatan kerja lapangan 'mopping-up' Banci Pertanian 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata setelah berakhirnya bancian ini, didapati sebanyak 1,256,593 atau 105 peratus kes yang ditemui dan sekali gus telah menemui tambahan 59,284 pegangan pertanian baharu berbanding senarai asal sebelum pembancian.

"Walaupun tempoh pembancian di lapangan sudah berakhir, namun 'mopping-up' akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu bermula hari ini sehingga 24 Okt depan…kita akan duduk bersama agensi pertanian terlibat dan akan turun ke 162 daerah seluruh negara untuk semak dan sahkan angka-angka bancian itu. 

"Selepas ini, kita akan hasilkan pembangunan sistem pangkalan data sektor pertanian…sedia maklum kita ada sektor pertanian, perikanan, penternakan, perkayuan dan akan masukkan semua dalam satu sistem bagi memudahkan pelaksanaan sesuatu program yang ingin dilaksanakan," katanya.

Tambah Mohd Uzir, dia juga ingin memastikan Banci Pertanian tidak berakhir pada tahun banci itu sahaja dan mahu angka-angka itu terus dikemas kini secara berterusan.

"Makanya, kita telah berbincang dengan semua agensi pertanian pada dua minggu lepas dan ia akan disusuli dengan pengumpulan data berbentuk tinjauan dan persampelan yang membolehkan hasil maklumat secara berkala diperolehi dan dapat membantu dalam semua aspek berkaitan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Banci Pertanian di Kedah, operasi telah mencapai 105.8 peratus dengan pertambahan 4,719 kes baharu berbanding 81,780 senarai asal isi rumah.

"Bagi pertumbuhan perniagaan, kesemua 1,124 pertubuhan yang menjalankan aktiviti pertanian telah dilawati dan Langkawi mencatatkan kadar tertinggi dengan 152.3 peratus diikuti Kuala Muda (128.9 peratus) dan Kulim (114.8 peratus)," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan banci berkenaan dan sekiranya masih ada pegangan pertanian yang belum dibanci, mereka boleh berhubung dengan Pejabat DOSM dalam tempoh 'mopping-up' untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan