BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 BELANJAWAN 2024 > BERITA

Blinken Tegaskan Usaha AS Hentikan Peningkatan Konflik Timur Tengah

11/10/2024 09:14 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

VIENTIANE, 11 Okt (Bernama) -- Dalam usaha untuk membendung ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken berkata AS mengambil langkah penting untuk menghalang konflik berterusan antara Israel, Hizbullah dan Hamas daripada terus merebak ke seluruh Timur Tengah.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane, Blinken menegaskan bahawa AS menggunakan kedua-dua pendekatan pencegahan dan diplomasi untuk menguruskan situasi yang tidak menentu itu.

"Kami bekerja keras, setiap hari, melalui pencegahan dan diplomasi, untuk mengelakkan konflik ini daripada merebak," kata Blinken.

Beliau menambah bahawa kebimbangan mengenai Timur Tengah telah dibincangkan dengan pemimpin dunia lain yang menghadiri mesyuarat ASEAN, yang beliau mengesahkan komitmen Washington untuk meredakan keadaan dan menentang apa yang disifatkannya sebagai "paksi penentangan" yang diketuai Iran.

Blinken turut menyatakan sokongan berterusan AS kepada Lubnan, sambil menekankan kepentingan memperkukuhkan negara itu di tengah-tengah pengaruh politik yang kuat oleh Hizbullah, yang telah lama wujud di Lubnan.

"Rakyat Lubnan mempunyai kepentingan besar untuk melihat negara mereka berdiri teguh dan mengambil tanggungjawab terhadap masa depannya," katanya.

Dari segi kemanusiaan, Blinken berkata AS terlibat secara aktif dengan Israel untuk memastikan keperluan kemanusiaan orang awam di Gaza dipenuhi semasa konflik.

Di samping itu, Blinken meyakinkan pemimpin ASEAN tentang komitmen tidak berbelah bahagi AS terhadap rantau Indo-Pasifik, walaupun terdapat ketidaktentuan pilihan raya presiden AS yang akan datang. 

"Tumpuan kami terhadap rantau ini kekal kuat dan penting bagi kepentingan negara kami. Saya percaya bahawa pendekatan asas ini akan berterusan, tanpa mengira siapa presiden," tambahnya, memetik sokongan dwipartisan untuk penglibatan dalam Indo-Pasifik di kedua-dua dewan Kongres AS.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan