BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 BELANJAWAN 2024 > BERITA

Malaysia Tetap Komited Perkukuh Sistem Multilateral – Anwar

11/10/2024 09:18 PM

Daripada Rosmalis Anuar and Sharifah Hunaini Syed Ismail

VIENTIANE, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia kekal komited dalam memperkukuh sistem multilateral serta mengekalkan orde dunia berasaskan undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mengalu-alukan penerimaan Pakatan Masa Depan pada 22 September 2024.

Mesej ini disampaikan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-14 hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Menurut laporan media, perjanjian itu digambarkan oleh Ketua PBB sebagai perjanjian penting yang merupakan satu langkah perubahan ke arah pendekatan multilateral yang lebih berkesan, terangkum dan terangkai.

Bagi pihak rakyat Malaysia, Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada Guterres dan keluarga besar PBB atas kehilangan 220 petugas Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) yang terkorban dalam serangan Israel di Gaza.

"Malaysia kekal komited menyokong usaha UNRWA," katanya.

Anwar juga sekali lagi mengulangi gesaan Malaysia agar penggunaan kuasa veto dihadkan bagi menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.

Mengenai Myanmar, beliau berkata penting bagi PBB, terutamanya Majlis Keselamatan PBB terus menyokong usaha ASEAN dalam memudah cara penyelesaian krisis secara aman.

"Sebagai Pengerusi ASEAN yang akan datang, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Utusan Khas PBB," katanya.

Anwar turut berkata Malaysia berpuas hati dengan kemajuan Rancangan Tindakan ASEAN-PBB (POA), sambil menambah bahawa dalam membangunkan Rancangan Tindakan seterusnya, kedua-dua pihak perlu menggabungkan elemen relevan daripada Pakatan Masa Depan PBB  dan Visi Komuniti ASEAN 2045.

Sementara itu, dalam Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) kedua, Malaysia mengulangi hasrat untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih (GHG) menjelang 2050.

Anwar berkata, inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menetapkan sasaran yang berani untuk Malaysia, dengan matlamat mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

"Malaysia percaya AZEC memainkan peranan penting dalam peralihan ini melalui kerjasama serantau dan usaha kolektif untuk memajukan penyelesaian tenaga mampan," katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa bagi meningkatkan keterjaminan tenaga, Malaysia menyeru ahli AZEC untuk memperhebatkan pelaburan dalam sektor tenaga, termasuk menyediakan sokongan pembiayaan berterusan untuk gas asli sebagai bahan api peralihan.

Kedua-dua mesyuarat itu diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada Jumaat di ibu negara Laos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan