BELANJAWAN 2024 > BERITA

'Gateway To Borneo' Di Pulau Pinang, Usaha Tarik Ramai Pelancong Ke Sarawak

11/10/2024 09:38 PM

GEORGE TOWN, 11 Okt (Bernama) -- Kempen 'Gateway to Borneo' yang julung kali diadakan di Pulau Pinang bertujuan untuk memperkenalkan segmen pasaran pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pelancong dari Pulau Mutiara ke Borneo khususnya Sarawak.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Dennis Ngau berkata kempen yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di Bayan Lepas dekat sini bermula semalam hingga 13 Okt ini akan mempromosikan budaya unik Bumi Kenyalang itu secara terus kepada penduduk Pulau Pinang.

"Saya yakin dengan populasi Pulau Pinang iaitu lebih 1 juta penduduk dan sebagai sebuah negeri yang penduduknya berpendapatan tinggi, mereka akan menyukai pintu masuk dari Pulau Pinang ke Sarawak untuk mendapatkan pengalaman baru.

"Berdasarkan kaji selidik dan kajian yang kami jalankan, Pulau Pinang adalah sasaran utama dan Sarawak sebuah destinasi yang kaya dengan kepelbagaian budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan, serta festival bersama dengan pengalaman autentik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen berkenaan di sini hari ini.

Beliau mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Salleh Askor.

Kempen yang dianjurkan Kerajaan Negeri Sarawak menerusi STB itu menawarkan pelbagai kraf, makanan dan minuman asli Sarawak seperti Batik Sarawak, Kek Lapis Sarawak dan Tuak Borneo selain demonstrasi langsung kraf tradisional negeri itu termasuk pembuatan batik, anyaman bakul serta tatu sementara.

Persembahan kebudayaan seperti permainan alat muzik dan tarian seruling sape serta seruling hidung yang mempesonakan daripada masyarakat orang asli Sarawak termasuk Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Melanau juga dianjurkan setiap hari bagi memeriahkan kempen itu.

Dennis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan itu berkata rakyat Pulau Pinang turut berpeluang untuk meneroka pakej pelancongan Sarawak eksklusif dipromosikan oleh pengendali pelancongan berpangkalan di negeri itu dengan pilihan yang memenuhi ekopelancongan, budaya dan pengembaraan.

Beliau berkata kempen itu juga penting dalam meningkatkan pelancongan domestik, sejajar dengan sasaran Sarawak untuk mencapai 4 juta pelancong menjelang hujung tahun ini termasuk 2 juta pelawat domestik.

Untuk rekod, sehingga Ogos lepas, Sarawak telah merekodkan 3.3 juta pelancong.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan