BELANJAWAN 2024 > BERITA

Hari Sukan Negara Platform Terbaik Perkukuh Semangat, Ukhuwah Perpaduan - TPM Fadillah

12/10/2024 11:42 AM

KANGAR, 12 Okt (Bernama) -- Hari Sukan Negara (HSN) platform terbaik memperkukuh semangat dan ukhuwah perpaduan dengan penglibatan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat sekali gus mengamalkan gaya hidup aktif dan budaya sihat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha memperkasakan masyarakat perlu ditingkatkan terutama untuk memastikan golongan muda (anak-anak) cergas dan sihat dalam konteks Malaysia MADANI yang sering ditekankan selain  aspek kesukanan perlu diangkat ke satu aras yang tinggi.

"Hari Sukan Negara membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengiktiraf kepentingan sukan dalam membentuk masyarakat yang cergas, produktif dan bersatu padu. Ia telah dijadikan sebagai agenda nasional dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan atau "sporting nation".

"Penganjuran Hari Sukan Negara telah disambut selama sedekad sejak kali pertama diperkenalkan pada 2015 bertujuan meningkatkan penglibatan aktif rakyat Malaysia selaras dengan strategi digariskan di bawah Visi Sukan Negara 2030 dan kerangka Malaysia MADANI," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan HSN 2024 Peringkat Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

HSN dijadualkan pada setiap Sabtu minggu kedua Oktober dengan hasrat untuk membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas serta aktif.

Sambutan HSN peringkat negeri dan bahagian di Sarawak untuk tahun ini diselaraskan semula pada 19 Okt ini bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Fadillah berkata penganjuran HSN telah mencatatkan penyertaan seramai 36 juta orang sejak 2015 hingga tahun lepas dan Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) menunjukkan domain skor penglibatan rakyat dalam sukan meningkat kepada 52 peratus pada 2023 berbanding 48 peratus pada 2022.

"Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit bagi kesihatan rakyat. Seperti kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati maka bersukan serta gaya hidup yang sihat termasuk pemakanan ialah perkara penting yang saya harap semua rakyat Malaysia titik berat dalam kehidupan seharian," katanya.

Beliau berkata ia amat penting kerana negara yang mempunyai rakyat sihat menyumbang kepada negara produktif dan mengurangkan bil kesihatan yang semakin meningkat saban tahun.

"Oleh itu, program seperti HSN yang dilaksanakan setiap tahun diharap dapat menyemarakkan budaya kecergasan dalam kalangan semua lapisan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan memberikan perhatian khusus kepada golongan warga emas melalui penganjuran Karnival Sukan Warga Emas bagi HSN 2024.

Beliau berkata kerajaan amat memahami golongan warga emas juga sebahagian golongan penting dalam masyarakat yang mempunyai hak saksama menikmati dan mengambil bahagian dalam aktiviti sukan serta rekreasi.

"Populasi penduduk Malaysia berumur 60 tahun ke atas mencecah 11.3 peratus (3.8 juta) pada 2023 dan dijangka meningkat kepada 15.3 peratus menjelang 2030 dan seterusnya 20 peratus pada 2040.

"Sehubungan itu, usaha meningkatkan tahap kesihatan perlu dimulakan sekarang agar menjelang  2030 negara memiliki golongan warga emas yang aktif dan sihat," katanya.

  -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan