Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 17 Jan (Bernama) -- ASEAN perlu menetapkan standard digital dan keselamatan siber yang konsisten, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat, bagi mewujudkan persekitaran digital yang dipercayai serta mengukuhkan kedudukan rantau ini dalam ekonomi digital global.
Menteri Digital Malaysia Gobind Singh Deo menegaskan usaha sedemikian akan meningkatkan saling kendali di seluruh Asia Tenggara, memberikan manfaat kepada negara anggota ASEAN dengan memacu pertumbuhan dan daya saing dalam landskap digital global.
“Malaysia menyokong sepenuhnya seruan untuk memuktamadkan rundingan mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) secepat mungkin, memandangkan manfaat ekonomi yang besar untuk rantau ini,” katanya dalam kenyataan pada akhir Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) kelima di Bangkok, Jumaat.
Beliau berkata DEFA dijangka menggandakan nilai ekonomi digital ASEAN kepada US$2 trilion menjelang 2030, berbanding anggaran US$1 trilion sekarang.
Gobind yang mengetuai delegasi Malaysia ke ADGMIN yang berakhir pada Jumaat, berkata selain DEFA, mesyuarat itu turut menekankan keperluan kerjasama yang lebih baik dalam mencegah penipuan dan penipuan dalam talian serta mempertingkatkan kesalinghubungan.
“Tiga perkara utama daripada ADGMIN ialah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serantau melalui DEFA; membina persekitaran digital yang lebih selamat dengan membanteras penipuan dalam talian serta memastikan tadbir urus AI yang sesuai; dan meningkatkan kesalinghubungan serantau.
Malaysia semasa ADGMIN turut mencadangkan standard digital dan keselamatan siber yang konsisten di seluruh ASEAN bagi memastikan penyelesaian dalam saling kendali,” katanya.
Gobind berkata ADGMIN turut meluluskan lima projek yang akan diterajui Malaysia pada 2025, iaitu, Memperjuangkan Pelaksanaan AI yang Selamat
di Asia Tenggara, Pembangunan Pusat Data Mampan, Rangka Kerja Pengkomputeran Awan Rentas Sempadan, Pembangunan Tenaga Kerja 5G, dan Pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN.
Sementara itu, di luar ADGMIN, Gobind turut mengadakan pertemuan dua hala yang produktif dengan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan beberapa pertemuan bilateral penting dengan negara anggota ASEAN serta Rakan Dialog dan Pembangunan, termasuk Indonesia, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Jepun, Korea Selatan, Thailand, dan Amerika Syarikat.
Dalam pertemuan bersama ITU, Gobind membincangkan peranan mereka dalam membantu Pejabat AI Kebangsaan Malaysia (NAIO) yang baru ditubuhkan.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk usaha kerjasama NAIO dan ITU dalam menetapkan standard AI, mempromosikan saling kendali penyelesaian AI di seluruh ASEAN, serta memberikan sokongan peraturan dan dasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial