BELANJAWAN 2024 > BERITA

Banjir Di Perlis Pulih, Dua PPS Ditutup

12/10/2024 03:44 PM

KANGAR, 12 Okt (Bernama) -- Banjir di Perlis telah pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di Kangar dan Arau masing-masing ditutup pada petang ini dan tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis Ku Chik Ku Mat Esa berkata dua PPS itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di Kangar yang ditutup 2 petang ini manakala PPS SK Arau bagi kawasan daerah Arau pula ditutup 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata seramai 119 mangsa banjir yang berada di PPS SK Sena dan lima orang berlindung di PPS SK Arau setakat pukul 8 pagi tadi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Mereka yang terlibat dengan banjir ini antaranya dari Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau dan Kampung Repoh di Kangar, manakala Kampung Banat, Kampung Belat Batu dan Kampung Seberang Behor Mempelam bagi kawasan Arau,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Sebagai rekod, banjir di Perlis berlaku pada Selasa lepas apabila dua PPS iaitu di SK Sena dan SK Kubang Gajah, Arau mula dibuka pada 12 tengah hari sebelum PPS SK Kubang Gajah ditutup 12.30 tengah hari semalam.

Tiga lagi PPS yang beroperasi sebelum ditutup semalam dan Khamis lepas ialah PPS Kolej Vokasional Kangar yang ditutup pada 12.40 tengah hari semalam manakala PPS SK Guar Nangka (di Arau) dan PPS SK Bintong (di Kangar) ditutup Khamis lepas masing-masing pada 10.30 pagi dan 2 petang.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan