BELANJAWAN 2024 > BERITA

GISB: Ibu Bapa Perlu Kemukakan Dokumen Sah Pertalian Dengan Anak - Nancy

12/10/2024 04:56 PM

KUCHING, 12 Okt (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menyerahkan kanak-kanak dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) kepada ibu bapa masing-masing sekiranya penjaga mengemukakan kepada mahkamah dokumen pengesahan seperti surat beranak dan kad pengenalan diri. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata segelintir daripada kanak-kanak yang diselamatkan didapati tidak mempunyai kad pengenalan diri serta mengaku tidak pernah berjumpa dengan ibu bapa atau keluarga.

“Ia berdasarkan siasatan pihak berkuasa yang bertanya sendiri kepada kanak-kanak terbabit, sebab itu sukar untuk kami menyerahkan begitu sahaja kepada pihak yang mendakwa mereka merupakan ibu bapa kanak-kanak ini, kalau benar mereka penjaga sah mudahkan kita untuk menyelesaikannya. 

“Ada peguam menyatakan mereka mewakili keluarga iaitu ibu kanak-kanak, jadi kita harap ibu ini dapat datang dan buktikan dia ibu kandung kepada kanak-kanak berkenaan kerana sesiapa pun boleh mengaku (ibu kanak-kanak)…ia untuk keselamatan anak-anak ini juga,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Mind Games: Kamek The Best’ di sini hari ini. 

Beliau menegaskan pihaknya tidak mempunyai niat untuk memisahkan kanak-kanak berkenaan daripada ibu bapa mereka dan langkah yang diambil ini adalah mengikut lunas undang-undang.

Nancy berkata daripada 660 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global, 559 daripada mereka mendapat perintah mahkamah untuk mendapat penjagaan dan perlindungan di bawah JKM bermula Oktober hingga Disember ini.

“Permohonan lanjutan perintah baharu akan dibuat sementara penyelesaian jangka panjang diputuskan dan JKM akan membawa perkara ini untuk dibincangkan di mesyuarat penyelarasan yang diurusetiakan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Penyelesaian jangka panjang yang akan dipertimbangkan termasuklah mengembalikan kanak-kanak yang tidak memerlukan perlindungan, pemeliharaan dan pemulihan kepada ibu bapa atau Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) sepertimana peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata ujian psikologi ke atas 454 kanak-kanak yang disiasat setakat ini mendapati 69 daripada mereka atau 16.2 peratus mengalami kecelaruan sederhana manakala 23 (5.5 peratus) lagi mengalami kecelaruan teruk.

Selain itu, menteri berkenaan memaklumkan dua daripada mereka mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) manakala 19 lagi menunjukkan simptom OKU. 

“Hampir 83 peratus pernah bersekolah manakala 9.5 peratus memaklumkan tidak pernah bersekolah dan selebihnya tiada maklumat,” katanya menambah kanak-kanak dalam lingkungan usia tujuh hingga 15 tahun mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 398 orang.

Beliau berkata JKM juga sedang menyelaraskan sumbangan daripada pihak swasta termasuk syarikat korporat dan yayasan yang menyatakan hasrat untuk menyumbang kepada keperluan kanak-kanak tersebut.

Polis melancarkan Op Global awal September lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Seramai 359 pengikut GISBH turut ditahan dalam operasi berkenaan termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu. 

Perlis, Selangor serta Pahang mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama itu sebagai menyeleweng dan sesat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan