BELANJAWAN 2024 > BERITA

KKM Tingkat Bilangan Pelatih Jururawat Penuhi Keperluan Industri

12/10/2024 05:44 PM

KOTA KINABALU, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan inisiatif meningkatkan bilangan pengambilan jururawat pelatih daripada 1,000 kepada 2,000 orang bermula tahun ini sebagai usaha memastikan jururawat berdaftar memenuhi keperluan industri.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata peningkatan berkenaan juga melibatkan permohonan daripada anak-anak Sabah, selain untuk menambah kuota jururawat lelaki dan menggalakkan penyertaan latihan separa perubatan daripada pelbagai kaum.

"Semua inisiatif ini adalah dengan harapan lebih ramai golongan muda khususnya anak-anak Sabah yang berminat menyertai perkhidmatan perubatan dan kesihatan di KKM serta berkhidmat untuk rakyat negeri ini.

"Pengambilan latihan separa perubatan dari 2022 hingga 2024 menunjukkan 65 peratus kuota diisi Semenanjung, Sabah (18 peratus) dan Sarawak (17 peratus), oleh itu usaha menarik minat lebih ramai anak muda menyertai latihan berkenaan perlu diteruskan untuk menambah pengeluaran jururawat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Tahun 2024 Zon Sabah di sini hari ini.

Sementara itu, Lukanisman berkata istiadat konvokesyen tahun ini keseluruhannya meraikan sebanyak 5,253 graduan daripada pelbagai program di ILKKM seluruh negara. 

"Dengan bilangan graduan yang besar ini istiadat konvokesyen 2024 dilaksanakan selama empat hari, dengan Zon Sarawak membuka tirai pada 5 Okt lepas dan hari ini giliran Zon Sabah yang menyaksikan 699 graduan menerima skrol penganugerahan," katanya.

Sementara itu, mengenai usaha meningkatkan kemudahan klinik desa terutama di Sabah dan Sarawak, Lukanisman berkata kerajaan telah memperuntukkan RM21.5 juta untuk menaik taraf klinik desa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Melalui peruntukan itu sebanyak 21 klinik desa telah dirobohkan dan dibina semula. Saya telah selesai meninjau klinik berkenaan dan apa yang menarik ia sangat selesa dengan ruang kerja lebih besar kepada para petugas," katanya.

Beliau berkata Sabah mempunyai 150 hingga 160 klinik dan kerajaan telah memberikan peruntukan khusus untuk melaksanakan 56 projek klinik daif melibatkan naik taraf dari sudut penggantian bumbung, penggantian pendawaian elektrik dan penambahan struktur yang diperlukan.

Ditanya tentang harapan Belanjawan 2025, Lukanisman berharap peruntukan kepada KKM dipertingkatkan untuk menyelasaikan masalah seperti klinik daif terutama di luar bandar dan pedalaman.

"Sudah semestinya peruntukan berkenaan sangat diperlukan untuk pembangunan, namun saya jangkakan peruntukan untuk naik taraf klinik daif akan meningkat dengan ketara. Ini untuk meningkatkan manfaat dan menurunkan jurang fasiliti klinik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan