BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kepengerusian ASEAN: Malaysia Sedia Perkasa Negara Anggota - Ahli Akademik

12/10/2024 06:20 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Malaysia yang mengambil alih kepengerusian ASEAN dari Laos pada Jumaat dijangka terus memperkasa negara anggota dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi di rantau itu.

Malaysia yang akan memulakan peranan selaku Pengerusi ASEAN secara rasminya bermula pada 1 Januari 2025 bakal memainkan peranan lebih aktif dalam isu antarabangsa serta terus memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar yakin Malaysia akan memainkan peranan yang positif sebagai Pengerusi ASEAN 2025.  

Beliau menegaskan bahawa kepengerusian ASEAN bukan satu ‘ritual tahunan’ yang cukup tempoh setahun ia bertukar pengerusi baharu.

“Saya sangat positif dengan kedudukan Malaysia (sebagai Pengerusi ASEAN) yang kita akan bersuara lebih kuat dalam isu-isu serantau dan antarabangsa termasuk krisis di Myanmar dan Palestin.

“Selain itu, Malaysia sebagai rising tigers dan new kids on the block, Malaysia boleh menjadi pemandu kepada pertumbuhan ekonomi pasca-COVID di rantau ASEAN.

“Malaysia boleh menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan ASEAN yang kurang membangun dengan menawarkan pemindahan ilmu dan bantuan kewangan,” katanya dalam program Ruang Bicara, BERNAMA TV bertajuk Kepengerusian ASEAN 2025: Perkasa Negara Anggota.

Wan Rohila merupakan tetamu jemputan secara maya dalam progam itu.

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia sempena Majlis Penyerahan Kepengerusian ASEAN di Vientiane pada Jumaat pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone pada majlis itu.

Anwar turut  mengumumkan logo dan tema  Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan” pada majlis itu.

Sementara itu, Wan Rohila berpandangan bahawa ASEAN dijangka akan lebih vokal dalam isu-isu hak asasi manusia di Myanmar.

“Saya tidak fikir Anwar akan menutup mulut dalam isu ini…Berhubung isu Rohingya, saya melihat ada penyelarasan yang lebih baik pada 2025.

“Selain itu, suara ASEAN akan lebih kuat terhadap kezaliman di peringkat antarabangsa terutamanya isu berkenaan Palestin dan negara Afrika.

“Saya melihat ASEAN kini tidak hanya berada di kelompok rantau ini sahaja sebaliknya sudah melangkaui (sempadan) rantau ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Pakar geostrategi Dr Azmi Hassan berkata ASEAN dijangka akan mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam geopolitik antarabangsa.

Sambil memberi contoh, beliau berkata buat masa ini, ASEAN “kurang menyentuh” isu-isu seperti Ukraine, Palestine dan Lubnan kerana melihat ia ‘tiada kena-mengena”.

“Saya pasti, bermula tahun depan, ASEAN akan menjadi lebih aktif kerana Malaysia adalah pengerusinya,” katanya.

Azmi berkata Anwar  seorang pemimpin yang berani menyuarakan pandangan di pentas antarabangsa termasuk mengemukakan hujahan berhubung isu Palestin pada forum Pertubuhan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco iaitu menyampaikan dengan jelas.

“Itu satu kelebihan Perdana Menteri (Anwar) dan auranya itu akan dibawa (apabila Malaysia menjadi) Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.

Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. Malaysia bersedia sekali lagi membawa cabaran yang besar pada tahun depan dalam suasana cabaran baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan