BELANJAWAN 2024 > BERITA

Belanjawan 2025: Kerajaan Disaran Utamakan Syarikat Tempatan Dalam Pembangunan AI

12/10/2024 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kerajaan disaran menjadikan syarikat tempatan sebagai peneraju utama dalam usaha memperkasakan pusat penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) menerusi Belanjawan 2025, kata Timbalan Presiden Persatuan Internet Pelbagai Benda (IoT) Malaysia Datuk P. Sri Ganes.

Beliau berkata Malaysia perlu bergerak pantas untuk kekal relevan dalam ekonomi global yang semakin didorong oleh AI dan teknologi pintar.

Sri Ganes berkata pelaburan dalam AI haruslah berfokus kepada penyelesaian inovatif yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan.

“Malaysia tidak boleh sekadar melihat angka besar dalam belanjawan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana dana itu dibelanjakan dan impak yang dapat dirasai. Pelaburan yang digunakan untuk bayaran overhed semata-mata tidak akan memberi kesan signifikan kepada pembangunan AI negara,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Sri Ganes berkata Malaysia tidak perlu mencipta semula formula kejayaan dalam AI seperti di negara maju, sebaliknya fokus perlu diberi kepada kerjasama strategik dengan syarikat teknologi gergasi seperti Google, Microsoft dan NVIDIA Corporation.

Namun, beliau menegaskan bahawa kekuatan sebenar Malaysia terletak pada sinergi dengan syarikat tempatan yang memiliki pemahaman mendalam terhadap isu setempat dan akses kepada data relevan.        

“Syarikat tempatan lebih tahu masalah dan cabaran yang dihadapi komuniti dan industri di sini. Dengan kerjasama ini, penyelesaian AI yang dibangunkan bukan sahaja lebih praktikal, tetapi juga mampu memberi impak ekonomi yang lebih besar kepada negara,” katanya.

Sri Ganes juga menyatakan usaha memperkukuh ekosistem AI tempatan akan menarik lebih banyak pelaburan luar, menjadikan Malaysia sebuah hab AI serantau yang berdaya saing.

“Lihat sahaja Singapura yang memperuntukkan lebih US$500 juta (RM2.1 bilion) melalui inisiatif AI Singapore dan India yang melatih lebih 10,000 siswazah AI setiap tahun melalui kerjasama kerajaan dan sektor swasta. Malaysia tidak mampu ketinggalan,” katanya.

Beliau berharap Belanjawan 2025 akan memberikan penekanan serius kepada pembangunan bakat dalam bidang AI untuk memastikan Malaysia tidak terpinggir dalam gelombang inovasi global ini.

“Pelaburan dalam bakat dan teknologi adalah kunci kepada masa depan negara. Kita perlu berani mengambil langkah proaktif dan memanfaatkan segala potensi yang ada, bukan sekadar mengikut arus,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" pada 18 Okt ini.

​--​ BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan