BELANJAWAN 2024 > BERITA

Jumlah Mangsa Banjir Kedah Terus Berkurang, Johor Dan Perak Kekal

12/10/2024 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan pengurangan malam ini berbanding petang tadi manakala di Johor dan Perak tidak berubah.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,170 orang daripada 653 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 2,387 orang daripada 718 keluarga petang tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

“Kota Setar merekodkan mangsa tertinggi iaitu 1,399 orang (417 keluarga) ditempatkan di sembilan PPS, diikuti Pendang 507 orang (139 keluarga) berlindung di dua PPS.

“Sebanyak 148 orang daripada 54 keluarga ditempatkan di dua PPS di Kubang Pasu manakala 116 orang daripada 43 keluarga di satu PPS di Pokok Sena," katanya dalam kenyataan. 

Di JOHOR, 17 orang daripada tiga keluarga kekal berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut, Batu Pahat malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan tiga kawasan terlibat banjir terbabit ialah Kampung Talang Bunut, Kampung Olak Batu dan Kampung Parit Nipah Laut di Batu Pahat. 

Di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan 136 orang daripada 40 keluarga kekal di dua PPS di Kerian dengan paling ramai ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak iaitu 71 orang (20 keluarga) manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai seramai 65 orang (20 keluarga) . 

Menurut sekretariat berkenaan, kesemua mangsa berada di kedua-dua PPS itu sejak kira-kira seminggu lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan