BELANJAWAN 2025 > BERITA

Capital A Optimis Akhiri Status PN17 Menjelang Disember 2024 - Tony Fernandes

15/10/2024 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Capital A Bhd mempunyai ekuiti yang positif dan optimis dapat keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang akhir Disember tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes berkata kumpulan itu juga berharap mendapat kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) AirAsia X (AAX) esok.

“Apabila AAX dan kumpulan penerbangan ini digabungkan, kami berpeluang untuk berada di tempat pertama berbanding di kedudukan kedua pada masa ini. 

"Saya tidak boleh menjangkakan (pendirian) pemegang saham tetapi apa yang saya boleh katakan  harga saham telah memberi tindak balas positif sejak kami mengetengahkan cadangan itu. Ini cenderung menjadi petunjuk kepada kemahuan pasaran," katanya pada sesi taklimat media pasca EGM Capital A semalam serta rancangan pelan pertumbuhan di sini, hari ini. 

Setakat 11.19 pagi ini, harga saham Capital A kekal pada 92.5 sen dengan 9.54 juta saham saling berpindah tangan. 

Fernandes berkata maklumat lebih jelas mengenai cadangan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB) kepada (AAX) dapat dijangkakan menjelang akhir minggu ini.

Capital A diletakkan di bawah kategori PN17 Bursa Malaysia bagi entiti bermasalah kewangan pada Januari 2022.

Selepas pelupusan kepentingan itu, Capital A akan memberi tumpuan kepada empat tonggak strategik yang akan memacu transformasi menjadi syarikat perkhidmatan penerbangan yang dipacu teknologi kalis masa depan melalui Capital A Aviation Services (CAPAS), MOVE Digital, Teleport (Logistik) dan syarikat Brand AA.

Mengulas pelan pertumbuhan rangkaian itu, beliau berkata AirAsia menyasarkan untuk mengembangkan rangkaian di serata dunia menjelang 2030 dan menjadikan Malaysia sebagai hab syarikat penerbangan tambang rendah yang terkemuka. 

AirAsia turut berharap untuk mengukuhkan rangkaiannya di China dan India pada tahun depan selain mengembangkan pasarannya di Australia, Jepun dan Korea Selatan serta membuka lebih banyak destinasi di Afrika bagi tempoh 2026 hingga 2027. 

"Kami juga merancang menambah lebih banyak destinasi di Timur Tengah seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman pada 2028 selain Eropah dan Pantai Barat Amerika Syarikat (AS) melalui Jepun,” katanya.

Beliau berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu masih mendapat kelulusan daripada pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS dan menyasarkan untuk menyambung semula laluan Honolulu selain kembali ke pasaran AS menjelang 2030.

Mengulas aspek pengembangan kumpulan pesawat, beliau berkata sebanyak empat pesawat jenis A321 Neo baharu telah dihantar pada 2024, lima lagi akan dihantar menjelang akhir tahun selain membuat tempahan sebanyak 361 unit pesawat jenis A321.

“Kami juga sedang meneliti pengeluar pesawat lain seperti Embraer dan Comac untuk memenuhi potensi pertumbuhan, terutama dengan penggabungan AAX dan kumpulan penerbangan (selepas pelupusan)," katanya. 

Setakat tengah hari ini, harga saham Capital A kekal tidak berubah pada 92.5 sen dengan 11. 8 juta saham didagangkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan