BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sultan Nazrin Berangkat Hadiri Majlis Santapan Tengah Hari Bersama PM Wong

15/10/2024 11:00 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 15 Okt (Bernama) -- Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang juga Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari yang dihoskan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong di Istana di sini pada Selasa.

Wong berkata beliau dan Sultan Nazrin mengadakan perbincangan yang meluas mengenai perkembangan global, masa depan ASEAN dan hubungan Singapura-Malaysia.

“Gembira dapat bertemu kembali dengan baginda sejak pertemuan terakhir kami pada 2022. Sebagai jiran rapat, Singapura dan Malaysia, termasuk Perak, berkongsi hubungan yang erat antara rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, sambil menambah bahawa mendiang bapanya menghabiskan masa kecilnya di Ipoh, ibu negeri Perak, sebelum berpindah ke Singapura.

Wong sebelum ini pernah berkongsi bahawa bapanya, yang meninggal dunia pada 2021 menamatkan pendidikan menengahnya di Ipoh.

Perdana Menteri turut menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan Sultan Nazrin dalam usaha memperkukuh hubungan antara rakyat di kedua-dua negara.

Turut hadir Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, antara lain.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan