BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sarawak Meterai MoU Dengan MEASAT Pacu Kemajuan Industri Angkasa Lepas

15/10/2024 09:03 PM

KUCHING, 15 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan penyedia penyelesaian satelit Malaysia, MEASAT Global Bhd (MEASAT), dalam usaha meningkatkan pembangunan industri angkasa lepas Sarawak.

Majlis MOU itu disaksikan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi hari ini.

Di bawah MOU itu, MEASAT akan bertindak sebagai perunding kepada Jawatankuasa Industri Angkasa dan Satelit Sarawak (SISCOM) dan menawarkan kepakaran industri untuk membentuk dasar, garis panduan serta masa depan industri angkasa lepas dan satelit di Sarawak.

Ini termasuk latihan dan pembangunan bakat, sekali gus memanfaatkan pengalaman lebih 30 tahun MEASAT dalam pengurusan satelit dan pengkomersialan perkhidmatan.

Menerusi kerjasama itu juga, SMA dan MEASAT akan meneroka projek bersama, pengoperasian dan pengurusan satelit, pembangunan angkasa lepas, satelit, dasar pelancaran, garis panduan, latihan dan pembangunan industri. 

Menurut Julaihi, kerjasama itu menandakan detik penting bagi cita-cita Sarawak dalam industri angkasa lepas.

“Dengan memanfaatkan kepakaran satelit MEASAT, kami membuka jalan untuk ketersambungan yang lebih luas, khususnya di kawasan luar bandar, sambil meletakkan asas untuk Sarawak mengurus sistem satelitnya.

“Ia juga kunci untuk mencapai matlamat kendiri satelit 2030 kami, yang juga akan menyumbang ke arah peningkatan keupayaan kami dalam menggubal dasar dengan pengumpulan dan analisis data lanjutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengurus Besar SMA Datuk Dr Anderson Tiong Ing Heng berkata SMA komited dalam memupuk kerjasama terbuka untuk meneroka strategi inovatif bagi meningkatkan ketersambungan Sarawak dan mengukuhkan infrastruktur digitalnya.

“Dengan pengalaman luas MEASAT, kerjasama ini akan membolehkan kami menjalankan projek bersama, memupuk bakat dan kepakaran tempatan dalam sektor aeroangkasa baharu Sarawak, dan meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam teknologi satelit, selain memacu pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

Julaihi turut menyaksikan majlis menandatangani MOU antara SMA dan Plum Consulting London LLP hari ini, yang akan memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang utama seperti pengurusan spektrum ruang udara, penggubalan dasar dan piawaian industri.

MOU itu juga bertujuan untuk meneroka rangka kerja pengurusan spektrum yang cekap, selaras dengan undang-undang persekutuan sambil memastikan kedaulatan Sarawak dalam kemajuan telekomunikasi.

Julaihi menekankan MOU itu menandakan satu langkah penting ke arah menangani pengurusan spektrum di Sarawak.

“Dengan asas undang-undang yang disediakan oleh Kanun Tanah Sarawak yang dipinda dan sokongan Jawatankuasa Spektrum Sarawak (SSC), kerjasama ini akan membolehkan Sarawak meneroka penyelesaian pengurusan spektrum yang berkesan, sejajar dengan kepentingan negeri dan peraturan Persekutuan,” katanya.

Kedua-dua majlis pertukaran MOU itu dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 esok.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan