BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ramanan, YBR Sumbang 10,300 Bakul Makanan Sempena Deepavali Di Seluruh Negara

15/10/2024 11:44 PM

SUNGAI BULOH, 15 Okt (Bernama) -- Sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut 31 Okt ini,  Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) akan mengagihkan 10,300 bakul makanan kepada keluarga B40 di seluruh negara.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan berkata sempena Program Vanakam MADANI 2024, pihaknya telah menyalurkan sebanyak 500 bakul makanan kepada 500 keluarga masyarakat India di sini.

“Bakul makanan ini, pada permulaannya, (kita beri) di Sungai Buloh. Kami telah mendapat data semua keluarga B40 daripada YBR dan telah mengenal pasti penerima tersebut.

“Senarai penerima akan dipaparkan di laman web YBR,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kepada pemberita selepas merasmikan program Vanakam MADANI 2024  di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata program Vanakam MADANI yang merupakan kali keempat diadakan membawa elemen berbeza dengan memberi bantuan dan mengajak komuniti setempat untuk menyambut perayaan Deepavali.

“Kebanyakan ahli politik suka memegang mikrofon dan sukar untuk memberi mikrofon kepada rakyat tetapi dalam Vanakam MADANI ini, kita hanya memberi jawapan selepas kita menerima kembali mikrofon daripada rakyat. Kita mahu mendengar ketidakpuasan hati mereka dan masalah yang dihadapi,” katanya.

“Ini merupakan sambutan Deepavali, kita mahu mereka semua bergembira,” katanya.

Selain itu, Ramanan berkata kerajaan MADANI amat komited untuk membantu melahirkan usahawan India dengan melaksanakan pelbagai program, antaranya melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan Prosperity, Empowerment and a New Normal For Indian Women (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia. 

“Sebelum ini ada program TEKUN untuk komuniti India RM30 juta tetapi sekarang ada tambahan RM30 juta inisiatif baharu Skim Pembiayaan Pemerkasaan  Usahawan Masyarakat India SPUMI Goes Big), katanya

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM10 juta telah diagihkan kepada hampir 400 usahawan yang telah menerima bantuan.  

“Selain itu, program Brief-I,  sebanyak RM31 juta telah diperuntukkan bagi 377 usahawan, manakala program PENN kami telah memperuntukkan RM50 juta dan setakat Ogos , sebanyak RM15.4 juta telah diperuntukkan kepada 2,100 usahawan wanita India seluruh negara,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan