BELANJAWAN 2025 > BERITA

Belanjawan 2025: ABIM Harap Kerajaan Beri Peruntukan Lebih Untuk OKU

16/10/2024 01:07 AM

KUALA LUMPUR,15 Okt (Bernama) --Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berharap kerajaan memberikan perhatian yang lebih mendalam kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata langkah itu selaras dengan Agenda MADANI yang menekankan aspek kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pemerkasaan semua golongan, termasuk OKU, dalam pembinaan peradaban bangsa Malaysia.

Justeru, beliau menyeru kerajaan mempertimbangkan pertambahan peruntukan bagi program dan inisiatif yang menyokong pemerkasaan OKU sejajar dengan misi MADANI untuk membangunkan Malaysia menjadi negara yang makmur dan maju secara inklusif.

“Keduanya, menggalakkan pembangunan infrastruktur yang mesra OKU, memastikan akses yang sama kepada semua kemudahan awam, yang selaras dengan prinsip kesaksamaan kepada semua rakyat Malaysia.

“Selain itu, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk OKU melalui insentif dan sokongan kepada majikan sebagai usaha untuk membina masyarakat yang lebih produktif dan adil dan melaksanakan kempen kesedaran tentang hak dan potensi OKU,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan cadangan itu mampu memenuhi tuntutan Agenda MADANI yang mengutamakan kesejahteraan dan hak asasi setiap individu,termasuk golongan OKU dan seterusnya membudayakan nilai ihsan selain membina masa depan negara yang lebih inklusif dan adil.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Tongkat Putih Sedunia pada setiap 15 Okt yang didedikasikan kepada golongan kurang upaya penglihatan, ABIM turut menyeru semua pihak mewujudkan rasa empati dan prihatin terhadap golongan rentan OKU. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan