BELANJAWAN 2025 > BERITA

Belanjawan 2025: - Sokongan Ke Atas Sektor OGSE Akan Melonjakkan Pertumbuhan

16/10/2024 04:00 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) yakin Belanjawan 2025 akan mewujudkan persekitaran yang menyokong sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) untuk meneruskan trajektori pertumbuhan selepas pulih daripada tahun-tahun mencabar sebelum ini.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MPRC Mohd Yazid Ja'afar berkata sektor OGSE berada di puncak persimpangan kritikal berikutan COVID-19 selain kejatuhan harga minyak.

"Ia berada dalam persekitaran serba asing selepas peralihan tenaga dan perubahan iklim mewujudkan permintaan baharu ke atas syarikat OGSE," katanya kepada Bernama . 

MPRC menjangkakan Belanjawan 2025 akan memasukkan inisiatif bagi menyokong syarikat OGSE beralih kepada landskap tenaga yang lebih bersih.

Kerajaan komited untuk menggabungkan dasar iklim serta kemampanan. Ini ditunjukkan melalui dasar termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. 

"Ini amat penting kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kira-kira 70 peratus daripada sektor OGSE adalah PKS, mereka memerlukan sokongan yang lebih besar untuk menguruskan kekangan sumber memandangkan saiznya,” kata Mohd Yazid.

Secara serentak, sektor itu perlu sentiasa menangani isu struktur berkaitan bakat, teknologi dan inovasi selain akses kepada pembiayaan, katanya lagi

Berdasarkan faktor-faktor ini, senarai harapan Belanjawan 2025 MPRC tertumpu pada program yang menyokong pembangunan bakat untuk meningkatkan kemahiran pekerja OGSE membabitkan pekerjaan luar pesisir termasuk meningkatkan keupayaan bakat sejajar dengan keperluan peralihan tenaga.

Agensi itu menggesa kerajaan menggalakkan penyertaan PKS dalam pendidikan teknikal, vokasional dan latihan (TVET) bagi memastikan pembangunan kumpulan bakat mahir, dan untuk menyediakan peluang kepada PKS mengambil bahagian dalam peralihan tenaga serta projek utama NETR seperti pembangunan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon di Malaysia termasuk mempunyai akses pembiayaan.

MPRC juga mahu PKS menambah keupayaan mereka untuk menerima pakai serta melaporkan tentang kemampanan dan meningkatkan kecekapan tenaga operasi atau menyediakan kecekapan tenaga sebagai penyelesaian perniagaan.

Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) Syed Saggaf Syed Ahmad turut bersetuju, sambil menambah bahawa beliau telah meminta Kementerian Kewangan untuk membuka portfolio pembiayaan kepada industri minyak dan gas (O&G) bagi mengurangkan isu mudah tunai. 

MOGSC, persatuan industri terbesar pemain minyak, gas dan tenaga, ingin kerajaan menyokong pemain O&G dengan peruntukan RM3 bilion untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan tempatan.

Persatuan itu mempunyai 620 ahli korporat serta bersekutu daripada setiap segmen 60,000 tenaga kerja dalam rantaian bekalan minyak, gas dan tenaga. Antara 70 peratus hingga 80 peratus adalah PKS. 

"Adalah semakin sukar bagi pemain industri untuk mendapatkan pembiayaan, khususnya, apabila orang ramai mula bergerak ke arah tenaga hijau. Ia tidak menarik bagi bank serta institusi kewangan untuk mempunyai syarikat O&G dalam portfolio mereka," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.  

MOGSC juga telah meminta kerajaan campur tangan untuk memastikan vendor dan subkontraktor, yang dihutang oleh Sapura Energy Bhd, dibayar sepenuhnya. Perintah sekatan yang dikenakan ke atas Sapura Energy telah menjejaskan vendor serta subkontraktor, katanya.

Sapura Energy telah diletakkan di bawah kategori Nota Amalan 17 (PN17) selepas mengalami masalah kewangan sejak Mei 2022.

"Tiada siapa yang mendapat bayaran daripada Sapura Energy. Saya rasa (hutang antara)  RM1.8 bilion sehingga RM2 bilion di kalangan vendor. Sapura Energy merupakan ahli (MOGSC). Jangan salah faham, kami mahu Sapura Energy dipulihkan dan ia adalah sebahagian daripada peruntukan undang-undang supaya ia diberi masa bagi memulihkan syarikat sepenuhnya. 

"Tetapi vendor perlu dibayar," kata Syed Saggaf.

Ketika mengulas mengenai isu bakat, beliau berkata MOGSC sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Petronas untuk membina rangka kerja set kemahiran dan program lain bagi menarik tenaga kerja baharu.

“Kami menyokong TVET kerana kami memerlukan bakat. Kami bimbang mungkin tiada bakat yang mencukupi dalam beberapa tahun akan datang. Kami bekerja keras untuk memastikan bakat-bakat ini kembali ke industri. Ia adalah satu cabaran untuk menarik minat generasi baharu ke dalam industri berkaitan minyak dan gas," kata Syed Saggaf.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan