BELANJAWAN 2025 > BERITA

Belanjawan 2025: UniSZA Harap Ipta Dapat Lebih Banyak Peruntukan

16/10/2024 04:23 PM

KUALA NERUS, 16 Okt (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Okt ini.

Naib Canselornya Prof Dato Dr Fadzli Adam berkata UniSZA khususnya amat memerlukan peruntukan lebih besar bagi membangunkan tiga aspek penting universiti iaitu modal insan, pembangunan fizikal dan projek serta program pendigitalan.

Menurut Fadzli, beliau yakin kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim peka dan prihatin dengan kebajikan universiti sebagai pusat lahirnya golongan profesional, pemikir dan cendekiawan yang menjadi tulang belakang negara.

"Pertamanya peruntukan lebih tinggi diperlukan UniSZA untuk fokus kepada pembangunan modal insan dalam kalangan mahasiswa melalui program pembentukan kepimpinan, keusahawanan dan bakat.

"Keduanya peruntukan itu dapat disalurkan untuk membina serta membaik pulih kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang lebih kondusif untuk pelajar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Fadzli berkata UniSZA juga ingin memberi tumpuan kepada aspek pendigitalan universiti iaitudapat meningkatkan elemen teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) seiring dengan perkembangan teknologi.           

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan